Ramai orang mengira bahawa sejarah Empayar Melaka atau Kerajaan Melayu Melaka adalah hal orang Melayu sahaja. Maka dalam masyarakat majmuk Malaysia hari ini, bagi sebahagian besar dari kita yang bukan Melayu, persoalan tentang kegemilangan atau kejatuhan Empayar Melaka itu seakan tidak penting dan tidak relevan.
Saya mengatakan pandangan ini sangat salah. Bahkan sejarah kejatuhan Empayar Melaka sangat dekat dalam konteks perbicaraan Malaysia moden yang kita diami sekarang ini. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Empayar Melaka adalah negara pelbagai kaum, sama seperti situasi masakini. Menonton bangsawan atau filem berlatar zaman kegemilangan Melaka, nama panggilan Mamak Bendahara sering kedengaran, tapi siapakah beliau sebenarnya? Kita biasa dengan panggilan mamak dan kita faham dengan konotasi mamak, yang kadang-kadang dalam politik negara kita dijadikan bahan serangan perkauman yang jelek. Sekali lagi, siapakah Mamak Bendahara? Mamak Bendahara ini ialah Bendahara Tun Ali anak kepada Baginda Mani Purindam, seorang bangsawan dari India yang hidup dalam ‘lingkaran istana’ Melaka. Beliau berkahwin dengan kerabat Melaka, Tun Rana Sandari Tun Perpatih Besar. Anak Tun Ali, Tun Mutahir hasil perkahwinan kedua Tun Ali dengan Tun Kudu juga kemudiannya diangkat sebagai Bendahara Melaka. Itu perihal kaum India di Melaka. Kaum Cina pula yang datang dalam jumlah yang besar adalah pengikut Puteri Hang Li Po, dikatakan dalam 500 orang. Puteri Hang Li Po adalah isteri kepada Sultan Mansur Shah. Mereka ini diberi penempatan di tempat apa yang kita kenal sekarang sebagai Bukit Cina, Melaka. Sama ada keturunan Mani Purindam atau pengikut Hang Li Po, mereka adalah rakyat Empayar Melaka, rakyat Melaka yang setia. Lalu datanglah 1511, Portugis menyerang Melaka setelah memperoleh maklumat risikan yang banyak, salah satu maklumat penting adalah ketika itu armada laut utama Melaka yang diketuai oleh Laksamana tidak ada di Melaka! Tidak perlulah saya perincikan keadaan peperangan itu, kesudahannya Melaka kalah selepas tentangan sengit diberikan. Ketika Portugis berjaya masuk ke dalam Kota Melaka, beribu senjata api milik tentera Melaka dirampas, beribu meriam juga, ada yang belum sempat digunakan, ada yang sempat dibawa lari oleh pasukan tentera Melaka yang bersama dengan Sultan. Melaka bukan empayar keris-lembing. Melaka punya teknologi, Melaka punya kekuatan, Melaka adalah tamadun… tetapi mengapa Melaka kalah? Inilah inti penting yang saya mahu ceritakan. Di sinilah teladan dan sempadan yang saya mahu utarakan, kerana senario hampir sama wujud hari ini dan sejarah selalu berulang. Melaka pada 1511 adalah kota perdagangan yang maju dan luas, menjalar hingga ke Muar! Kemajuan dan kemakmuran ekonominya menyebabkan wujud pemimpin yang tamak dan rasuah, menerima rasuah hingga ke tahap khianat, membocorkan maklumat pertahanan ke pihak luar. Inilah sebab pertama mengapa Melaka kalah. Dalam keramaian rakyat Melaka yang majmuk itu pada tahun 1511, kota Melaka juga dikunjungi ramai pedagang luar, saya ulang, pedagang! Istilah hari ini adalah peniaga dan pelabur dari negara luar. Adalah fakta sejarah bahawa ketika armada Portugis berlabuh di perairan Melaka sebelum serangan dilakukan, pedagang-pedagang dari Negara China (bukan rakyat Melaka berbangsa Cina dari keturunan pengikut Hang Li Po) telah pergi berjumpa Alfonso de Albuquerque menawarkan bantuan, bahkan meminjamkan dua buah jong (kapal besar) untuk kegunaan tentera Portugis. Sekumpulan pedagang dari India yang diketuai oleh Nina Chetu (bukan rakyat Melaka berbangsa India dari keturunan Mani Purindam) juga turut membelot dan menyokong Portugis. Ini pula adalah sebab kedua mengapa Melaka kalah. Pembelotan Nina Chetu sangat tidak disangka kerana dia amat rapat rapat dengan Sultan. Nina Chetu diangkat menjadi Shahbandar bagi pedagang India selepas Portugis menang tetapi dia mati membunuh diri pada tahun 1514. Melaka ketika itu besar wilayahnya, maka tenteranya juga ramai, tetapi sebahagian dari tentera itu adalah tentera upahan Jawa. Dan antara strategi Portugis untuk melemahkan pertahanan Melaka adalah dengan merasuah ketua masyarakat Jawa yang punya pengaruh kuat terhadap tentera upahan ini, namanya Utumutiraja. Utumutiraja telah berjaya meracuni pemikiran tentera upahan Jawa supaya tidak terlalu bersungguh melawan Portugis, dengan alasan Melaka bukan tanahair mereka. Ini sebab terakhir mengapa Melaka berjaya dikalahkan oleh Portugis. Perhatikan ketiga-tiga sebab ini, apakah watak-watak di atas tidak wujud pada hari ini? Pemimpin negara yang rasuah dan menyalahguna kuasa, sudah muak kita mendengarnya, dari 1MDB ke FGV, dari FGV ke NFC, dari NFC ke MARA, dari MARA ke KWAP dan pelbagai lagi. Ingatlah di antara rasuah dan pengkhianatan cuma ada benang halus yang boleh diputus, dilanggar atau dilangkau pada bila-bila masa sahaja. Percayalah bahawa inilah yang sangat ditakuti oleh bekas-bekas pemimpin Umno yang sekarang melawan Umno melalui PPBM. Itu tentang tamak dan rasuahnya pemimpin sekarang, sama dengan segelintir pemimpin Melaka dahulu. Kalau Melaka dahulu dibanjiri para pedagang dari China dan India, samalah juga keadaannya negara kita sekarang ini. Peniaga dan pelabur dari Negara China sudah hampir mengelilingi Semenanjung Malaysia. Dari Kuantan yang saya duduki ini yang punya ‘kota tertutup’ yang dikenal sebagai Taman Industri Malaysia-China Kuantan dengan tembok besarnya, turun ke Johor di Johor Iskandar dan Forest City yang menjual hartanah dan harta tanpa tanah kepada pelabur dari Negara China (juga dari negara lain), naik ke Melaka dengan Malacca Gateawaynya… lain-lain termasuklah pengambil-alihan syarikat pembekal tenaga bebas Edra Energy oleh syarikat dari Negara China, belum lagi dikira pemegangan ekuiti dalam Proton. Hari ini pelaburan besar-besaran dari Negara China sudah pun memasuki Sabah melalui Sutera Harbour. Saya tegaskan di sini, ini bukan soal peratusan pegangan saham, ini soal keberadaan ‘pedagang-pedagang’ dari Negara China ini, di mana sahaja di negara kita, dan dari segi strategik keselamatan, ia tidak selamat. Melaka ketika berperang dengan Portugis menggunakan tentera upahan Jawa yang antara lain menjadi sebab kekalahannya. Hari ini sudah tentu negara kita tidak menggunakan tentera upahan kerana persoalan kesetiaan. Namun kita hari ini punya masalah tenaga upahan yang hampir sama dengan tentera upahan Jawa Empayar Melaka tersebut. Negara kita mempunyai tenaga kerja upahan asing atau pekerja asing yang terlalu ramai, sama ada dengan izin atau tanpa izin. Data terkini menunjukkan bahawa jumlah pekerja asing yang sah sahaja berjumlah 1.7 juta. Tentang pendatang tanpa izin, saya tiada rekod terkini, tetapi setakat 2014, jumlahnya sudah mencecah 4.6 juta! Kebimbangannya, 10-20 tahun akan datang, populasi pendatang asing ini sama ada dengan izin atau tanpa izin akan menjadi populasi kedua terbanyak selepas Melayu/Bumiputera! Dan yang paling menakutkan sudah tentulah kita langsung tidak boleh meletak kepercayaan dan kesetiaan ke atas mereka, sejarah lama sudah mengajar. Seperti sejarah Melaka, hari ini ada juga pendatang asing yang rapat pemimpin negara kita, ada yang rapat dengan istana, bahkan ada yang dianugerah gelaran. Saya berani mengatakan setinggi manapun gelaran yang kita beri, mereka tidak akan bersetia dengan kita. Sepatah ingatan dari saya, jangan terlalu suka menyusu kera di hutan, walau seluruh hasil hutan itu dilambak kepada kita sebagai balasan, kerana kera hutan tetap kera hutan, giginya tajam, taringnya panjang, menandakan menggigit itu sebahagian dari dirinya. Sekali kita digigit bukan sekadar meninggalkan lubang, silap-silap habis kita tumbang. Jangan biar sejarah berulang! Zukri Aksah
1 Comment
Saya menekuni “kenyataan di balik jeriji” terbaru Saudara Anwar Ibrahim, perihal ketidakapaannya terhadap inisiatif Azmin Ali untuk terus cuba berunding dengan PAS (dalam kerangka PH?). Saya juga membaca kenyataan beberapa pimpinan Umno mutakhir ini tentang kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS juga.
Tidakkah kalian lihat? PAS memang mahu berada di bawah lampu limpah politik. PAS terbuai dengan keadaan ini, mereka merasa mereka besar, merasa mereka kuat, merasa mereka hebat, merasa mereka mahal! Mereka merasa mereka sedang menguatkan Islam, padahal mereka sebenarnya sedang tenggelam dalam rasa ujub pimpinan mereka sendiri. Meminjam kata Haji Hadi, Umno - BN adalah biawak hidup dan Pakatan Harapan adalah biawak hidup yang lebih bahaya. Maka kelihatannya sekarang sang biawak hidup dan sang biawak hidup yang lebih bahaya sedang berlumba-lumba menagih kekuatan abang sado PAS untuk memikul mereka. Soalnya kuatkah PAS? Nantikan tidak sampai sepelaung, dari niat nak menunggeng, kita yang jatuh tertunggeng. Atau sekadar berstrategi untuk dilihat penting? Lebih penting dinyatakan di sini ialah PAS melihat Umno - BN dan PH tidak lebih sekadar batu yang menjadi beban untuk digalas, dari “mantik mengarut” Haji Hadi, PH adalah batu yang lebih besar. Namun PAS seringkali pula, terutama melalui kenyataan Timbalan Presidennya bersedia dengan kemungkinan segala bentuk kerjasama. Tidak jelaskan lagi bahawa ini adalah gila kuasa paling tidak berprinsip? Saya kata PAS murah tetapi kita sendiri yang memahalkannya! Dari segi Kitaran Hayat Organisasi, PAS hampir sama dengan Umno - BN, berada di peringkat penetrasi rakyat pada ketika yang hampir sama (walau sedikit terkebelakang), mendaki peringkat pengembangan pada tempoh yang hampir sama, mencapai peringkat kematangan juga pada masa yang hampir sama. Sekarang sama ada PAS atau Umno - BN, mereka berada di peringkat kejatuhan (decline). Bezanya cuma, selama melalui Kitaran Hayat ini, PAS sentiasa berada di bawah Umno - BN dalam keluk yang sama. Untuk terus berdaya tahan, kekal kompetitif kedua-dua PAS dan Umno - BN perlukan strategi baru, pendekatan baru serta penjenamaan semula. Kalian sudah dengar tentang TN50 dan Politik Matang dan Sejahtera. Soalnya apakah slogan sudah mencukupi untuk kembali membina sokongan? Apalagi kedua-duanya, PAS dan Umno - BN baru melepasi tempoh perpecahan mereka dengan kelahiran Amanah dan Bersatu. Mereka perlukan rakan baru, perlukan sekutu baru. Jika tiada sekutu ataupun sekutu yang ada mungkin boleh menenggelamkan mereka, cuma ada satu pilihan terakhir, mereka yang asalnya musuh ini bersatu! Bersama memasuki Kitaran Hayat yang baru. PAS seringkali mengasbab kekuatan mereka dengan keramaian jenteranya. Tetapi apakah keramaian itu kekuatan yang memenangkan? Beranikah PAS mengaku bahawa kemenangan PAS di Terengganu pada PRU 1999 disebabkan keramaian jenteranya? Kalau ya mengapa dalam PRU 2004 boleh tersadung jatuh berdebuk? Haji Hadi ketika itu pun kalah di Parlimen Marang dengan majoriti tipis 163 undi. Inilah yang saya kata ramai tetapi tidak cerdik. Bayangkan dalam seramai-ramai jentera yang PAS ada, di lubuk mereka pula, tidak ada seorang pun… termasuk Haji Hadi sendiri meminta kiraan semula, sedangkan PAS Marang ketika itu berhak kerana majoriti kalah yang sangat kecil itu. Ini juga mengingatkan saya akan pengalaman saya bertanding dalam PRU 2004 di DUN Semambu. Saya akui jentera PAS besar, jentera Keadilan kecil ketika itu. Arwah Cikgu Dzul yang berasal dari PRM diamanah untuk menjadi Ketua Penaja Bahagian Indera Mahkota, sementara saya adalah Ketua AMK. Jawatankuasa Bahagian (sekarang Cabang) hanya dibentuk sebulan sebelum pembubaran parlimen, lebih kurang dua bulan sebelum pilihanraya. Setiausaha MTD Semambu (PAS) ketika itu datang menemui saya berbincang soal kerjasama, menghulurkan buku panduan PACA kepada saya untuk rujukan, beliau mendakwa buku itu hasil tulisannya. Saya berterima kasih dan berjanji apabila jentera dapat dikumpulkan secukupnya saya akan memanggil beliau untuk melatih PACA berdasarkan buku yang diberikannya itu. Tetapi apabila tiba masanya dan saya menghubungi beliau untuk mengendali latihan PACA, beliau teragak-agak dan mengata beliau tidak tahu, hanya tahu tulis sahaja! Saya gelak dalam hati sahajalah. Akhirnya saya sendiri yang mengendalikan kelas latihan tersebut (saya adalah polling agent dan counting agent dalam PRK Lunas 1999 yang menyaksikan Keadilan menang melalui Saudara Saifuddin Nasution Ismail). Sekali lagi harapkan ada sahaja… tetapi tidak cerdik. Saya sekali lagi masuk ke DUN Semambu dalam PRU 2013, kali ini sebagai wakil calon kepada Lee Chean Chung (yang kemudiannya menang dan bergelar YB). Pada hari mengundi, saya kira sudah mencecah waktu Maghrib ketika itu, seorang counting agent PAS datang berjumpa dengan saya memberitahu dengan cemas bahawa beliau gagal memperoleh Borang 14 kerana enggan diberi oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM). Saya hanya gelak, itukan memang hak counting agent untuk mendapatkannya. Kalau ada counting agent tetapi tidak tahu apa yang perlu dibuat, apa yang boleh dibuat, samalah dengan tidak ada! Saya katakan padanya, tidak apalah, kita dah menang. Biarlah saya tegaskan di sini… Orang yang paling tidak cerdik pun dalam politik tahu bahawa menyatukan semua kekuatan pembangkang adalah paling bagus untuk melawan Umno - BN. Satu lawan satu boleh (saya kata boleh, tidak semestinya!) menjadi jalan terbaik mengatasi pengaruh Umno - BN. Semua ini boleh difahami semua tanpa perlu menunggu amanat dari Anwar Ibrahim pun. Malangnya, dalam kerencaman politik hari ini, senario di atas hanya nampak bagus di atas kertas sahaja. Hakikatnya tidak begitu! Memang Anwar pernah berjaya menyatukan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat suatu masa dahulu, tetapi keadaannya tidak sama langsung dengan keadaan Pakatan Harapan dan PAS sekarang. PAS sekarang seperti takal pemusing, sebelah tali dipegang oleh Azmin, sebelah lagi mengikat tengkuk Amanah. Semakin kuat Azmin menarik tali itu maka semakin kuat ia akan menjerut tengkuk Amanah. Keadilan perlu memutuskan segera kita mahu berada dengan siapa, jangan tunggu sampai Azmin terlalu kuat menarik sehingga Amanah terheret keluar, sedang PAS belum tentu sampai ke ribaan kita, akhirnya kita akan kehilangan semua. Di sinilah rasionalnya panggilan Kongres Khas. Apakah permuafakatan politik tidak berkait dasar? Apakah dengan adanya perbincangan lain dengan PAS tidak akan mencalar dasar yang telah dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan? Strategi APU dan Gagasan Rakyat tidak pernah menawan rakyat, akhirnya Semangat 46 dan Ku Li yang terburai… usah kita bawa Keadilan ke lubang ular yang sama. Rakyat memang mahu memberikan kepercayaan kepada kita, mood PRU 2013 membuktikannya. Untuk itu kita memerlukan kesatuan yang kuat, kesatuan yang kuat tidak bermaksud kita mampu mengutip semua parti politik yang bukan berada dalam BN bersama dengan kita. Kesatuan yang kuat dilihat rakyat dari kesepakatan yang teguh, ketegapan pendirian dalam membuat keputusan, jangan bila Majlis Presiden sudah membuat keputusan, ada pula kalangan pimpinan yang memberi kenyataan dengan kecenderungan berbeza. Jika parti, parti-parti dan Pakatan Harapan sendiri mempunyai kenyataan yang saling bercanggah, rakyat akan jadi keliru dan hilang keyakinan. Awal kenyataan terbaru Anwar sendiri mengakui bahawa pimpinan Pakatan Harapan telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan PAS, noktah. Anwar Ibrahim memang seorang yang berjiwa besar, kerana jiwa besarnyalah kita angkat beliau sebagai pemimpin, pemimpin yang tidak boleh dicabar kedudukannya di dalam parti. Kita proklamasikan kedudukannya sebagai Ketua Umum Keadilan lewat Kongres. Tetapi jiwa besarnya sering menjadi lubang lumayan buat oportunis politik. Saya sudah tulis ini semua lama dahulu semasa saya menjadi kolumnis Harakahdaily. Zahrain Hashim, Salehuddin Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri, Zulkifli Noordin dan Nallakarupan. Hampir kesemuanya Datuk bergelar dan menjadi pemimpin parti suatu ketika kerana mereka adalah dalam rantaian Anwar. Orang-orang lama Keadilan pasti kenal nama-nama ini dan tahu kesudahan mereka. Maaf kalau ada yang tidak setuju, tetapi apa yang saya ingin katakan adalah jiwa besar Anwar sering memandu beliau membuat perhubungan dengan orang yang salah. Jika satu keputusan tidak diambil deretan nama di atas bakal bertambah, orang seterusnya tidak lain tidak bukan adalah Haji Hadi. Saya tetap dengan pendirian bahawa Pakatan Harapan secara nasionalnya boleh menjadi kuat tanpa PAS. Muhyiddin Yassin ketika masih menjadi Timbalan Presiden Umno mendedahkan bahawa jika Pakatan Rakyat ketika itu mampu menambah 2% lagi sokongan maka Umno - BN akan kehilangan Putrajaya. Apakah dengan gabungan Amanah dan PPBM kita tidak mampu mendapat sokongan yang hilang dari PAS dengan ditambah 2% lagi? Parlimen Bera contohnya tidak boleh menjadi model bagaimana kita hilang peluang menang kerana terjadi pertandingan tiga penjuru, kerana Parlimen Indera Mahkota dan DUN Semambu juga melalui senario yang sama, lebih lagi calon ketiga yang bertanding dalam PRU 2013 di Parlimen Indera Mahkota dan DUN Semambu kedua-duanya berasal dari Keadilan. Perbandingannya begini, Keadilan yang bertanding tiga penjuru di DUN Semambu boleh menang dengan majoriti tiga ribu lebih, tetapi PAS yang bertanding di DUN Beserah dalam parlimen yang sama dengan pertembungan dua penjuru sahaja menang dengan majoriti yang sama. Jelaskan PAS tidak kuat, PAS tidak mahal! Panjang lagi kalau saya sambung tulisan ini, cukuplah di sini. Biarlah saya akhiri dengan pantun; Apa diharap padi seberang Entah menjadi entahkan tidak Apa diharap kasihnya orang Entahkan sudi entahkan tidak Zukri Aksah KENYATAAN MEDIA KHAS BERHUBUNG DENGAN TUNTUTAN KONGRES KHAS BAGI PENYELESAIAN HUBUNGAN DENGAN PAS28/8/2017 Penentangan terhadap tindakan segelintir pimpinan kanan parti yang terus-terusan secara tidak malu mahu terus bersekedudukan dengan PAS bukanlah baru berlaku, bukan hari ini lewat Sidang Media yang berlangsung pagi tadi di Kuala Lumpur. Sidang media pagi tadi adalah penentangan kumulatif sejak berbulan-bulan dahulu dari seluruh negara. Seruan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Cabang untuk menyokong panggilan Kongres Nasional Khas bukanlah dibuat atas dasar kebencian, tetapi atas dasar tanggungjawab menjaga air muka dan maruah Parti Keadilan Rakyat yang sudah begitu teruk tercalar… Lebih teruk bila kita ditanya apakah parti kita ada harga diri? Dalam masa kita sudah banyak kali dicerai, difarak, difasakh, masih ada kalangan pimpinan kita yang terhegeh-hegeh, dengan menjual nama Anwar kononnya PAS masih perlu dipeluk-cium… gila talak pun tidak segila ini? Untuk segelintir pimpinan ini, saya mohon bertanya, apakah nama Anwar yang dijual itu diterima PAS sebagai mahar? Atau bakal disepak-terajang sekali lagi?
Penentangan ini bukan bermula hari ini, ia sudah lama dan merata, terpecah-terpecah. Penentangan bukan datang dari Rafizi, penentangan bukan dibina di dalam Invoke. Rafizi cuma menjadi pimpinan kanan parti yang cuba membawa suara ini ke atas. Penentangan secara diplomatik dan beradab-sopan sudah dibuat lama tapi segelintir pimpinan yang keras kepala ini terlalu angkuh, merasa mereka sangat hebat dan kuat… apakah mereka sudah buta hati dan pekak badak? Lalu berlangsunglah sidang media pagi ini menggariskan keperluan Kongres Nasional Khas dalam mencari titik noktah kemelut hubungan dengan PAS. Ada yang merasa ia tiba-tiba, mengejutkan dan menggamit kebisingan yang melampau untuk sebuah parti politik seperti Parti Keadilan Rakyat ini. Saya katakan biarlah, kerana itu sememangnya respon yang dimahukan. Bhagat Singh memasang bom di ruang tengah parlimen, dia tiada niat mahu mencederakan sesiapa, dia cuma mahu penguasa yang pekak akhirnya dapat mendengar! Dia juga memang mendedahkan dirinya untuk ditangkap supaya dia dapat bercakap di kandang mahkamah. Dalam konteks Parti Keadilan Rakyat, kita memang berniat menghasilkan kebisingan melampau supaya akhirnya segelintir pimpinan kanan parti yang tuli dan pekak akan mendengar. Kita juga secara sukarela mendedahkan siapa kita, tidak berselindung di sebalik nama-nama samaran bak Ratu Naga atau Putera Badak! Percayalah, kita sudah sampai di persimpangan kritikal yang memaksa kita membuat keputusan tegas. Dalam keadaan paling ideal, kita memang mahukan satu lawan satu dalam berdepan dengan Umno dan BN. Tetapi jika semata-mata mahukan satu lawan satu, dalam masa yang sama kita serlahkan pendirian kita yang lembik di depan PAS, berkompromi terlalu banyak perkara sehingga melibatkan air muka, maruah dan harga diri parti, mengkesampingkan banyak pandangan dan teguran rakan-rakan dari Pakatan Harapan, akhirnya di hadapan rakyat, di hadapan rakan-rakan Pakatan Harapan juga, kita akan dilihat sebagai tidak layak untuk memimpin, tidak tegas dan takut dengan ketidakyakinan pada kekuatan sendiri. Kepada segelintir pimpinan kanan parti yang sedang mabuk kuasa, jangan kerana sayangkan kedudukan di sebuah negeri, percaturan kita akan menjatuh-rudumkan potensi yang kita ada di negeri lain di seluruh negara. Lebih baiklah kita melawan tiga penjuru dalam keadaan kita dilihat tegas, berprinsip, bermaruah dan kekal dengan jalan reformasi. Kita ada sebab yang kuat mengapa kita sudah tidak mahu berhubungan dengan PAS. Bukan hanya kerana sikap mereka terhadap kita dengan tuduhan yang bermacam dan berterusan. Sikap mereka yang kebelakangan ini mula berbaik dan mesra Umno juga menjadi persoalan. Alasan ta’awun langsung tidak boleh diguna-pakai, bertolong-tolongan untuk perkara baik kononnya. Contohnya begini, si P yang alim sedia bekerjasama dengan U yang diketahui memang pencuri dan kuat rasuah untuk membina masjid, maka kedua-dua pihak saling menyumbang bagi kerjasama ini. Apakah ia ta’awun sedang dalam masa yang sama sumbangan pihak U datang dari hasil curian dan rasuah? PAS juga telah menzahirkan cita-cita mereka mahu menjadi “playmaker” dalam kondisi yang sangat longgar. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mendedahkan jika PAS menang 20 kerusi maka mereka boleh pergi sama ada ke BN atau ke Pakatan Harapan, mereka akan menjadi mahal kepada BN atau Pakatan Harapan yang mahu membentuk kerajaan. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa PAS sudah hilang prinsip perjuangan. Demi kuasa PAS sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja, sama ada dengan biawak hidup atau dengan biawak hidup yang lebih bahaya. PAS sudah menjadi janda berhias, janda berhias secara harfiahnya suka mengikis harta lelaki. Janda berhias PAS pula suka mengikis kuasa dari siapa sahaja, tanpa perkiraan prinsip. Ingatlah, Parti Keadilan Rakyat adalah parti reformasi, perlawanan kita adalah perlawanan sistem, melawan sistem Umno dan BN (tidak kira siapapun yang memimpinnya), menawarkan sistem reformasi yang lebih terbuka, telus dan merakyat. Tindak-tanduk PAS kebelakangan ini nyata berlawanan dengan cita-cita reformasi kita, kerana PAS boleh sahaja berkawan dengan sistem yang rosak dan korup demi kuasa. Kepada semua pimpinan Cabang Keadilan di seluruh negara, saya menyeru untuk kalian ke depan bersama-sama menyokong inisiatif Kongres Nasional Khas bagi menyelesaikan secara tuntas soal hubungan parti kita dengan PAS. Apakah gerakan ini boleh menghancurkan Parti Keadilan Rakyat? Dari satu segi saya tidak nampak logiknya. Ia cuma sebuah Kongres tempat kita berdebat mencari sebuah penyelesaian. Bilamana keputusan di peringkat MPP dan Biropol selalu dipertikai ahli bawahan, maka Kongreslah tempatnya, badan tertinggi pembuat keputusan dalam struktur parti, dan ia tidak boleh dipertikai lagi atau diubah sesuka hati oleh MPP mahupun Biropol. Kalau yapun Kongres Nasional Khas boleh mencipta perpecahan dan huru-hara seperti dakwaan sesetengah pihak, maka suka saya cuplik teori revolusi, bahawa revolusi akan mencetuskan huru-hara tetapi akan memunculkan hero. Siapa hero tersebut? Rafizikah? Tidak semestinya, ia bergantung kepada keadaan, hero baru mungkin akan muncul dari kalangan pimpinan-pimpinan cabang. Ingatlah sejarah reformasi Indonesia. Yang merajai gerakan reformasi Indonesia ketika hangatnya adalah sosok yang bernama Amien Rais, tetapi bila reformasi menang, yang menjadi hero di Indonesia adalah B.J. Habibie. Saya, Ketua Penerangan Keadilan Negeri Pahang, menulis kenyataan ini dengan penuh kesedaran akan risikonya. Saya tidak pasti sama ada kenyataan ini bakal diterima oleh MPN secara keseluruhannya. Namun sementara jawatan itu masih milik saya, biarlah saya suarakan apa yang saya percaya. Saya mungkin akan kehilangan jawatan tersebut, dipecat. Tetapi ingat, saya masih Timbalan Ketua Cabang yang dipilih… maka saya akan terus bersuara. Rakan-rakan saya dalam gerakan ini ramai yang berjawatan, termasuklah Rafizi sendiri. Bersama-sama dengan gerakan ini memungkinkan hilangnya jawatan, tidak dapat menjadi calon pilihanraya, yang sudah bergelar YB tidak akan terpilih sekali lagi bertanding. Semua risiko ini mungkin, tetapi bak kata Anwar, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Saya percaya inilah jalan reformasi, inilah jalan reformasi yang saya pilih. Zukri Aksah Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd Syukur pada Tuhan, buat kesekian tahunnya, kita berjaya menyempurnakan sebulan puasa pada bulan Ramadhan. Hari ini kita menyambut hari kemenangannya, Hari Raya Aidil Fitri. Mewakili Keadilan Negeri Pahang, saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Negeri Pahang, Selamat Berlebaran dan Bermaaf-maafan. Sebulan yang lepas ini juga, kita berusaha melengkapkan solat terawih di setiap malamnya. Ada antara kita yang bertadarus hingga khatam 30 juzuk Al-Quran dalam masa 30 hari. Rumah-rumah kebajikan, anak yatim dan seumpamanya meriah dengan aktiviti sedekah iftar dan bantuan Raya. Ketiga-tiga ini adalah amalan sunat yang paling dituntut dan paling besar pahalanya dalam bulan Ramadhan. Kemenangan apa yang kita sambut hari ini, hingga kita tidak dibenarkan bersedih pada 1 Syawal yang mulia ini? Puasa, zakat fitrah, terawih, sedekah dan tadarus Al-Quran sebulan pada Ramadhan yang baru berlalu bertujuan untuk mengembalikan kita kepada fitrah, sebab itu perayaan ini juga dikenal sebagai Hari Raya Fitrah. Penyempurnaan Ramadhan bermaksud kita sempurna berbalik kepada fitrah, itulah kejayaan yang kita sambut hari ini, Hari Raya Aidil Fitri. Apa fitrah kita? Tidak kira siapa kita, fitrah kita semua asalnya Islam, apa maksudnya? Islam dari segi bahasa bermaksud patuh dan tunduk. Patuh dan tunduk kepada kebaikan, ingkar dan menolak segala amal jahat serta mungkar. Ramadhan yang sempurna bukan setakat membuat kita ingkar dan menolak amal jahat serta mungkar, bahkan akan menghindar kita dari condong kepada perlakuan atau orang yang melakukan perkara-perkara sebegitu. Perbuatan pemimpin mencukai rakyat hingga merangkumi golongan miskin dan susah seperti perlaksanaan GST adalah amal jahat dan mungkar. Bahkan baru-baru ini jika tidak dibantah, sebahagian dari bahan mentah asas makanan akan mula dikenakan GST. Pemimpin yang melaksanakan regim percukaian ini sudah satu hal, tetapi harus diingat, orang yang tahu dan berdiam diri, malahan mahu bertaawun dengan golongan ini, dilihat condong dan terpalit sama dengan kezaliman yang sedang berlaku. Orang yang terlibat dengan skandal 1MDB adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Orang yang terlibat dengan skandal FGV adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Orang yang terlibat dengan skandal MARA, SRC, KWAP dan seumpamanya adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Kesemua ini membabitkan wang negara, wang rakyat. Menggetarkan bila semua skandal ini merujuk kepada atau berhubungan dengan Umno dan BN atau pemimpin-pemimpinnya, yang secara faktanya adalah kelompok yang memerintah negara ini. Jika amal jahat dan mungkar ini berterusan, ini bermaksud mereka tidak kembali kepada fitrah, sebab fitrah seperti yang saya sebutkan tadi adalah patuh dan tunduk kepada kebaikan. Jika kita, yang bergembira di 1 Syawal ini, yang merasa kita menang setelah menempuh sebulan bulan Ramadhan, tetapi tidak melakukan apa-apa bila pemimpin secara terang-terangan melakukan amal jahat dan mungkar, seperti dasar yang membeban, korupsi dan salah guna kuasa, maka kita harus bertanya kembali kepada diri kita sendiri, apakah kita benar-benar sudah kembali kepada fitrah? Ayuhlah semua... tunjukkan kepada mereka yang menzalimi rakyat, mereka yang khianat amanah rakyat dalam mengurus harta negara, mereka yang menyusahkan rakyat, bahawa rakyat sedang belajar sesuatu yang besar dari kemenangan 1 Syawal kali ini. Jadikanlah 1 Syawal kali ini sebagai penggerak momentum kemenangan seterusnya, kemenangan menundukkan pemimpin yang angkuh dan bongkak. Sebagai orang yang sudah kembali kepada fitrah, tetapkanlah pendirian kita bahawasanya, kita tidak akan sesekali bertahaluf atau bertaawun dengan pemimpin yang ingkar dan menolak kebaikan, dalam masa yang sama melaku amal jahat dan mungkar terhadap rakyat. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd Sekian. Maaf zahir batin dari Keadilan Negeri Pahang. Wassalam. Zukri Aksah 1 Syawal 1438H Sebelum saya pergi lebih jauh dalam membicarakan hal ini, izinkan untuk saya jangka dulu apa respon negatif dari tajuk di atas. Pastinya ia lebih kurang akan berbunyi begini, "mu cerdik sangatlah, doh bakpe peting sangat ke nok fahang demokrasi ning? Ciptaang yahudi belaka ning, ikut sangatlahhh..." Jawapan saya cukup mudah dan ringkas. Monarki juga bukan sistem Islam, tetapi Islam kemudiannya masuk ke dalam sistem itu dan membuat pengubahsuaian. Di nusantara wujudlah kerajaan-kerajaan monarki Islam yang besar kemudiannya selepas kedatangan Islam seperti Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Demak, Kerajaan Pasai, Kerajaan Acheh dan banyak lagi. Maka begitulah juga demokrasi, roh dan nilai universal Islam boleh masuk dan menambah-baik. Mengapa saya kata PAS tidak faham demokrasi? Dua perkara di sini yang penting. Pertama soal majoriti berkuasa, dan yang kedua soal hilang kepercayaan Dewan. Kerajaan di sesebuah negara atau negeri dibentuk dari pihak yang memegang majoriti. Memang betul, kemenangan di Selangor dalam Pilihanraya Umum 2008 dan 2013 adalah di bawah panji-panji Pakatan Rakyat. Tetapi kenyataan yang harus diterima ialah Pakatan Rakyat sudah tidak ada. Yang wujud dalam landskap politik negara hari ini ialah Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS. Dan dari segi bilangan kerusi, pemegang majoriti di Selangor sekarang adalah Pakatan Harapan. Jika PAS kekal bersendirian, tidak bersama Barisan Nasional, tidak juga bersama Pakatan Harapan, maka ia adalah unit minoriti yang tiada hak dalam sebuah kerajaan demokrasi. Di atas ini ialah cuplikan dari Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, Fasal 6 dan 7. Baca Fasal 7 dahulu, iaitu tentang seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) yang memegang jawatan selama diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, baca permulaannya, TERTAKLUK KEPADA FASAL (6)!
Mengapa tertakluk kepada Fasal 6? Sedangkan Fasal 6 adalah tentang Menteri Besar. Jika anda baca betul-betul anda akan oerasan bahawa Menteri Besar juga adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Fasal 6 menyatakan Menteri Besar sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah meletak jawatan bila tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan. Kaitan ini dengan Fasal 7 dan mengapa Fasal 7 merujuk kepada Fasal 6 ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain boleh meletak jawatan pada bila-bila masa, juga mesti meletak jawatan sepertimana Menteri Besar bila tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan. Berbalik kepada isu kedudukan Exco-Exco dari PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor, mereka hari ini sudah hilang kepercayaan majoriti Dewan. Mengambil kes rampasan kuasa di Perak sebagai "precedent," hilang kepercayaan majoriti Dewan tidak lagi perlu dibuat atau dibukti melalui undi tidak percaya. Wahai Mohd Amar Nik Abdullah, tidak jantan itu bila kita tidak hormat undang-undang. Ketika saya masih budak-budak, saya belajar mengaji Al-Quran dengan seorang makcik yang saya panggil Che De di kampung saya. Ada seorang pemuda yang baik dengan Che De, mengajar saya perihal solat di sebelah malamnya di tempat yang sama (kemudiannya saya mengetahui pemuda ini berpangkat tiga pupu dengan saya). Saya mula mengaji pada usia 5 tahun dan khatam kali ketiga sewaktu saya di Darjah Lima. Semoga Tuhan merahmati usaha, kesungguhan dan amal-baik mereka. Apa yang saya pasti, sama ada Che De atau pemuda tersebut, mereka bukanlah pendokong PAS.
Maslahah, kepentingan Islam pada skala terkecil di kampung pedalaman seperti di kampung saya itu boleh terjaga tanpa dokongan PAS pun... Kenapa hari ini, mereka yang mengisytiharkan cerai, mereka pula yang mengisytihar mahu terus kekal serumah di Selangor... guna alasan maslahah Islam? Tahaaluf Siyaasi itu kerjasama politik, Kerajaan Negeri Selangor yang ada sekarang juga berdiri di atas kerjasama politik yang sama. Kalau dah putuskan batal, terbatal samalah yang di Selangor itu. Kenapa ada kekecualian? Alasan maslahah Islam tidak boleh dipakai. Apakah tercabut Islam dari pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor tanpa PAS? Apakah bagi PAS, selain PAS yang lain itu sama dengan Ahok? Layak ditanam di jirat? Apakah orang seperti Haji Sa’ari Sungib (Pak Abu Urwah) misalnya, salah seorang ADUN di Negeri Selangor tidak cukup alim bagi PAS untuk menjaga maslahah Islam? Pak Abu Urwah adalah bekas aktivis dan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM). Apakah PAS tidak mahu mengaku bahawa apa yang dilakukan oleh JIM selama ini adalah untuk kepentingan, maslahah Islam? Apakah PAS tidak mahu mengaku semata-mata kerana Pak Abu Urwah bukan PAS, JIM bukan PAS? Apakah dalam Malaysia ini hanya PAS sahaja yang betul dalam menjaga maslahah Islam? Menjuarai hal-hal berkaitan dengan Islam? Apakah pula menjuarai hal-hal Islam itu hanya berkisar sekitar hudud? Sekitar RUU355? Sedang RUU355 itu hanyalah pindaan kepada Akta sedia ada, bukan sesuatu yang baru, mengapa perlu terlebih hiruk-pikuk mendabik dada mahu memperkasakan Islam? Dijaja ke sana-sini di atas pentas politik sehingga terlebih goreng, terlebih hangit? Kalau betul mahu atau menyokong pemerkasaan perundangan Islam di negara ini, jangan hanya melihat kitab ‘uqubat (jinayat), lihat juga kitab ibadat, kitab munakahat, kitab muamalat. Kenapa tidak pernah kedengaran sokongan PAS bila perundangan muamalat Islam diaplikasi dalam sistem kewangan dan perbankan negara ini? Kita mula kenal mudharabah, tijarah, sukuk, musyarakah mutanakisah, tabarru’ dan sebagainya. Bukankah ini semua juga pemerkasaan perundangan Islam? Tanpa kontroversi, tanpa hiruk-pikuk. Atau sebab bukan PAS yang buat, PAS tak dapat keuntungan material dan politik, tak perlu sokonglah... tak ada kalangan Dewan Ulama’ PAS atau Majlis Syura’ Ulama’ PAS yang dilantik jadi Panel Syariah di Suruhanjaya Sekuriti atau dalam mana-mana bank komersil, maka PAS tak perlu sokong. Begitukah? Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui. Tidak semena-mena Pemangku Raja Pahang bertitah, masukkan elemen Diyat dalam prosedur Lembaga Pengampunan DiRaja. Ini kuasa Sultan, ini kuasa negeri, tidak perlu draf Rang Undang-Undang, tidak perlu bentang parlimen, tidak perlu pinda perlembagaan, kaedah ini dalam bab Qisas. Ia mampu menarik sokongan bukan Islam, ia mampu menarik sokongan aktivis kemanusiaan. Sebab apa? Ia di tengah-tengan di antara perbalahan golongan yang menyokong hukuman bunuh dan menentang hukuman bunuh. Islam memberi penyelesaiannya, tanpa hiruk-pikuk, tanpa jajaan politik murahan. Maka berbondong-bondonglah mereka yang menjunjung titah. Saya pun menjunjung titah, sementelah ia sesuatu yang baik. Tetapi kepada PAS saya ingin bertanya, apakah Pemangku Raja Pahang itu lebih alim dari anggota Dewan Ulama’ PAS, lebih alim dari anggota Majlis Syura’ Ulama’ PAS, lebih alim dari Presiden PAS? Mengapa selama PAS memerintah Kelantan, sepenggal memerintah Terengganu, sepenggal memerintah Kedah, PAS tidak pernah mengaju sembah cadangan ini kepada Sultan masing-masing untuk kaedah Diyat diaplikasikan oleh Lembaga Pengampunan DiRaja di negeri-negeri tersebut? Apakah PAS tidak terfikir? (fikir hanya pasal hudud? RUU355?) Apakah Dewan Ulama’ PAS tidak buat kerja? Apakah Pusat Penyelidikan PAS tidak buat kajian? (Dr. Zuhdi sibuk nak jentik orang?) Tuhan sekadar mahu tunjuk, maslahah Islam bukan mutlak milik PAS! Beginilah... maslahah Islam adalah tanggungjawab orang Islam secara keseluruhannya, dan PAS hanya sebahagian kecil dari orang Islam yang ada di negara ini, ramai lagi orang Islam yang berada di luar dari lingkungan PAS. Dan apakah saya boleh meletak kepercayaan kepada satu institusi yang bibir-mulutnya cukup mudah untuk menanjingkan orang, membiawakkan orang, menjebonkan orang, membaruakan orang dalam menjaga kemaslahatan Islam dalam negara ini? Cukuplah... sebelum imej Islam yang songsang sampai ke persepsi masyarakat umum, berundurlah secara terhormat dari Kerajaan Negeri Selangor, demi prinsip tahaaluf yang kamu pegang. Talak satu di Dewan Ulama’, talak dua di muktamar, talak tiga di Majlis Syura’ Ulama’, tak boleh cina buta dah! Parti Keadilan Rakyat Pahang menjunjung kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah di Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Pahang pada 2 Mei 2017 lalu yang mana Baginda menyarankan Jemaah Pengampunan Pahang memakaiguna kaedah pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa pembunuhan kepada banduan yang telah disabitkan atas kesalahan membunuh.
Pemangku Raja Pahang di dalam Titah Baginda telah secara spesifik menyarankan prinsip-prinsip jurispruden Islam iaitu "diyat" sebagai alternatif kepada hukuman mati di atas permohonan yang dimajukan kepada Jemaah Pengampunan Pahang. Diyat atau pemberian pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa kepada banduan yang disabitkan merupakan salah satu elemen penting di dalam pentadbiran keadilan Islam yang mengenengahkan prinsip kemaafan dan kasih-sayang serta tidak berdendam. Ianya juga secara tidak langsung mempamerkan citra sebenar Islam sebagai agama kasih-sayang dan tidak semata-mata menghukum. Diyat secara efmologinya diertikan sebagai denda atau penebusan yang mana seseorang banduan boleh meminta kemaafan atau pengampunan dari waris atau keluarga mangsa dan keluarga mangsa juga berpeluang memberikan kemaafan kepada banduan yang disabitkan dengan kesalahan membunuh dengan cara membayar denda atau penebusan berupa sejumlah harta yang bernilai. KEADILAN Pahang percaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah merujuk kepada firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah ayat 178 di mana keluarga mangsa diberikan kebebasan memberi maaf kepada banduan dan di dalam keadaan ini diyat atau denda hendaklah dikenakan yakni dengan membayar dalam bentuk harta yang bernilai kepada keluarga mangsa. Tuanku Pemangku Raja Pahang turut bertitah bahawa cadangan memakaiguna diyat ini bukanlah terhad kepada banduan Muslim sahaja tetapi boleh diaplikasikan oleh mereka untuk banduan bukan Islam atas prinsip yang sama. Sesungguhnya Titah Baginda ini sangat bertetapan dengan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin (Islam Rahmat Sekelian Alam) serta membuktikan ketinggian Islam itu sendiri. KEADILAN Pahang turut berpandangan peraturan serta peruntukan undang-undang sedia ada yang diberikan kepada Jemaah Pengampunan Pahang tidak menghalang dan memberikan ruang bagi membolehkan diyat dilaksanakan. Demikian itu, KEADILAN Pahang sekali lagi menjunjung kasih di atas Titah Pemangku Raja Pahang yang disifatkan sebagai bersesuaian serta bijaksana dan memartabatkan prinsip keadilan Islam. KEADILAN Pahang menyeru dan menggesa kesemua pihak yang berkaitan mengambil tindakan sewajarnya serta segera bagi membolehkan hasrat dan cita-cita murni Baginda dapat direalisasikan. Sekian Terima Kasih YB Dato Fauzi Abdul Abdul Rahman Bertarikh pada 4 hb Mei 2017 Saidatina Aishah bila ditanya tentang akhlak Nabi mengatakan bahawa akhlak Nabi itu bagai Al-Quran yang bergerak. Sedang yang dikatakan Ulama' itu pula adalah pewaris Nabi... kita orang biasa bila teringin berakhlak secara Islam akan merujuk kepada Ulama'. Maka kalau diri sekadar Ustaz janganlah pandai-pandai mengangkat dada mengaku Ulama', kesian orang-orang biasa yg sedang dahagakan pedoman.
Bab Gelar-Menggelar: Firman Allah S.W.T mafhumnya “11. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki mengolok-olok kumpulan yang lain, boleh Jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh Jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan Barangsiapa yang tidak bertobat, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim.” (al-Hujuraat: 11) Bab Butir Taik PAP: Sama ada PAP atau DAP, kedua-dua parti ini bukan parti komunis, bukan juga sosialis. Ini parti sosialis demokrat. Bagi golongan kiri dan sosialis (juga komunis), sosialis demokrat secara ideologinya tidak pernah dianggap sebagai sosialis, tidak diiktiraf sebagai golongan kiri. Ia sama sifatnya dengan Parti Buruh di UK. Buruk benar DAP di mata PAS, sedang di dalam DAP juga ada orang Melayu beragama Islam. Teringin nak dengar fatwa Ustaz PAS tentang akidah orang Islam yang ada dalam DAP. Bagaimana pula halnya dengan MCA yang memiliki Nanyang Siang Pau yang telah memenatang-kerakan orang tu? Memang ia sangat tidak wajar, tapi ia juga adalah refleksi dari sikap mulut lembik sesetengah pemimpin Islam yang kurang-ajar. Siapa tahu Presiden pertama MCA yang dikata parti berhaluan kanan itu? Tun Tan Cheng Lock menjadi Presiden pertama MCA pada tahun 1949. Sedangkan sebelum itu pada tahun 1946 beliau telah diangkat sebagai Pengerusi Bersama sebuah gabungan politik kiri PUTERA-AMCJA, gabungan antara PKMM dan Parti Komunis Malaya. Jadi kalau DAP itu dari butir taik PAP, MCA ni kita nak kategorikan kelahirannya dari lubang najis mana? Jangan hanya kerana kita dah termakan dedak Umno, semuanya salah DAP... maka kita lupa adab, kita jadi biadab. Kalau dah mengaku parti awak bukan sekadar politik, parti awak juga wahana dakwah, maka berdakwahlah dengan akhlak, ikut akhlak Nabi! Jangan ikut akhlak babi, menyondol tak tentu pasal... Sekian tazkirah dari saya. Tajuk di atas adalah sebuah judul lagu, tetapi bukanlah lagu itu yang ingin saya dendangkan di sini. Dalam konteks tulisan ini, ia hanya membawa dua konotasi. Pertama, apakah bulan putih PAS sudah berubah menjadi biru pekat? Menjadi mesra Barisan Nasional (BN) walau tidak berada dalam BN, seperti IPF satu masa dahulu? Kedua, kalau yang pertama salah, apakah wajah PAS hari ini sudah kebiruan akibat dimalu, dipermain dan diperkudakan Umno dan BN?
Latar belakang asas tulisan ini adalah adegan drama pendek tiga babak RUU355 yang mana watak utamanya adalah Haji Hadi. Bermula dengan Tangguh, Tangguh, Bentang/Tangguh. Tangguh kali pertama dan kedua dibuat Haji Hadi sendiri tanpa pembentangan, sementara yang ketiga usulnya dibentangkan oleh Haji Hadi tetapi ditangguhkan pula oleh Speaker tanpa perbahasan, apalagi pengundian. Peliknya, sama ada tindakan Speaker atau kenyataan Datuk Dr. S.Subramaniam, Presiden MIC yang memberitahu bahawa skrip drama bentang tanpa bahas itu sudah diketahui awal oleh pihak Umno dan BN tidak pula mendapat bantahan dari mana-mana pimpinan PAS. Apakah PAS juga bersama menulis skrip itu? Persoalan ini membawa kepada konotasi pertama tadi, apakah PAS sudah menjadi mesra BN? Soal mengapa ia tidak dibahaskan sekarang sudah menjadi soal kedua, yang utama apakah sudah wujud kerjasama rasmi di antara PAS dan Umno dalam diam? Apakah PAS sudah menjadi mesra BN walaupun tidak berada dalam BN? Apakah ini "UG - The Sequel," yang di ketika hayat Almarhum Tok Guru Nik Aziz adalah sebuah hubungan haram yang tidak pernah diperkenankan oleh beliau? Kenapa tiba-tiba PAS tanpa Nik Aziz boleh menjadi percaya kepada Umno dan BN, boleh percaya dengan gula-gula yang dihulur Najib? Janji Melayu, janji Islam? Sejak bila Umno ikhlas bila bercakap soal Islam, soal Melayu? Malangnya bila PAS mula melupakan yang parti mereka pernah dizalimi puluhan tahun oleh Umno dan BN, lebih malang jika PAS boleh percaya Umno hari ini yang diterajui Najib lebih boleh dipercayai dalam membentuk kerjasama untuk memperkasakan perlaksanaan Islam di negara ini. Ingin saya ingatkan, bahawa kita melawan Umno dan BN, di bawah Mahathir, di bawah Pak Lah, di bawah Najib, utamanya bukan kerana kejahatan, kezaliman atau ketidalayakan mereka, tetapi kerana sistem yang dibawa Umno dan BN hari ini adalah sistem yang rosak dan korup. Sistem yang rosak dan korup inilah yang menaikkan pemimpin yang jahat, zalim dan tiada kelayakan. Apakah PAS boleh percaya Najib yang naik dari sistem sebegini punya iltizam atau sekurang-kurangnya akan memberi sedikit ruang untuk perlaksanaan apa yang diperjuangkan PAS selama ini? Bukan PAS yang meletak Najib di tempatnya sekarang tetapi sistem yang rosak dan korup itulah... jika dalam persimpangan yang terdesak, percayalah, Najib akan meninggalkan PAS terkontang-kanting dengan harapan tanpa kesudahan. Atau apakah ini politik matang dan sejahtera PAS? Memberi peluang kepada Najib, Umno dan BN untuk dipercaya walau sekali? Kalau seluruh isi kepimpinan PAS percaya akan hal ini, inilah yang betul, inilah yang Islam, bagaimana pula dengan pendekatan politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebelum ini? Kalau tidak matang dan sejahtera, adakah pendekatan Nik Aziz dulu adalah pendekatan menatang dan kera? (maaf jika kasar, ada orang lain yang lebih suka membinatangkan orang lain berbanding saya) Jika inilah politik matang dan sejahtera, bagaimana pula dengan penentangan PAS terhadap Saudara Anwar Ibrahim selama 16 tahun dalam Umno? Bukankah Anwar yang suatu ketika Presiden ABIM yang dilihat dekat dengan PAS tetapi mengambil keputusan menyertai Umno atas sebab yang sama? Sambil "bersejahtera" dengan Umno, Anwar mengambil peluang itu mempengaruhi kepimpinan Umno melaksanakan Islam dalam pentadbiran, ekonomi dan pendidikan. Bank Islam, Universiti Islam, Sistem Kewangan Islam, Dasar Penerapan Islam dalam Pentadbiran antara yang berjaya digagaskan. Apa beza ini semua dengan RUU355 dari segi memperkasakan Islam? Apakah politik Anwar juga politik menatang dan kera? Apakah PAS menyokong? Maaf cakap, di dalam tempoh itu jugalah isu kafir mengkafir sedang hebat, isu toghut dan sebagainya, hasil dari amanat seorang pemimpin PAS yang mengaku matang dan sejahtera, yang bernama Haji Hadi. Seperti kita semua maklum, Anwar akhirnya tercampak keluar dari Umno dan BN. Maksudnya di dalam BN, sistem yang rosak dan korup lebih berkuasa dari pemimpin yang beriltizam. Apakah PAS tega untuk menempuh jalan yang sama? Berdasarkan konotasi kedua pula, keadaannya adalah PAS sudah di"check-mate" sekarang. Wajah PAS sudah kebiruan kerana malu dan terkedu. Terkedu pertama kerana keengganan pihak kerajaan pimpinan Umno untuk membentangkan RUU355 di Parlimen, sebaliknya memulangkan kepada pihak PAS, kekal sebagai RUU Persendirian. Terkedu kedua kerana tindakan Speaker yang juga dari BN yang menangguhkan Sidang Dewan sebaik sahaja selepas pembentangan usul dari Haji Hadi tanpa perbahasan. Terkedu ketiga ialah bila Presiden MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam memberitahu bahawa keputusan untuk tidak membahaskan usul Haji Hadi itu adalah keputusan Umno dan BN sebelum dewan bersidang lagi. Kerana terkedulah dan wajah sudah kebiruan maka tidak ada tindak balas dari PAS terhadap tindakan-tindakan Umno dan BN ini. Hanya ego Haji Hadi dan pemimpin sealirannya sahaja yang setakat ini menghalang mereka untuk mengaku bahawa mereka telah terkena. Tetapi janganlah pula kerana hilang kata-kata akibat diberak-kencing oleh Umno dan BN itu, PAS mengerahkan gerombolannya untuk memaki dan menyalahkan orang lain pula, DAP anti Islam, PH tak sokong Islam... bila pula kita berbahas dan mengundi, yang tahu sangat sokong tak sokong tu? Kalau benarlah PAS benar-benar berusaha mahu memperkasakan Islam melalui RUU355, masa masih ada sementara menunggu sidang seterusnya bagi pembentangan semula dan perbahasan. PAS mesti sanggup melepaskan isu ini dari sekadar menjadi modal untuk PAS menonjolkan diri semula selepas perpecahan, atau dari sekadar menjadi modal yang dipergunakan oleh Umno dan BN untuk melambatkan tempoh kejatuhan mereka, tempoh kejatuhan Najib Razak. Percayalah, isu agama dan kaum sebagai senjata pecah-perintah sudah tidak terpakai di era media sosial ini. Waktu inilah, PAS boleh betul-betul mahu menguji keikhlasan Umno pimpinan Najib sama ada mahu menyokong atau tidak RUU355 ini. Kita tiada masalah dengan perkara yang baik, kalau betul baik kita sokong asal caranya juga baik. Berkomplot dengan satu pihak yang rosak dan korup sistemnya, Najib itu apatah lagilah, atas alasan memperkasakan Islam tidak boleh diterima, matlamat tidak akan selama-lamanya menghalalkan cara! Tidak perlu ada perundingan sulit kalau benar-benar mahu memperkasakan Islam melalui RUU355. PAS hanya perlu meminta dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk membentuk satu "Consultative Council" RUU355 yang melibatkan JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Mufti-Mufti Negeri, Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri, juga "stakeholders" lain seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), di Negeri Pahang ada Persatuan Peguam Syarie Negeri Pahang (isteri saya adalah setiausahanya), mungkin juga wakil peguam Islam dari Malaysian Bar, dan lain-lain yang berkenaan. Dengan cara ini ia akan menjadi isu massa, bukan lagi isu politik sempit, membina kuasa tekanan dan "demand" yang lebih besar, serta sudah tentulah harapan kejayaan untuk pemerkasaan Islam itu akan menjadi lebih tinggi. Dengan cara ini juga, PAS sudah pasti bakal mendapat lebih penghormatan, barangkali turut mampu membentuk kumpulan-kumpulan sokongan yang baru. RUU355 sepatutnya menjadi idea yang betul, di tangan pihak yang betul, diusahakan secara betul, dengan kaedah yang betul dan membuahkan hasil yang betul. Jangan akhirnya yang terkesan adalah wajah putih-bersih bulan PAS. Bila bulan berwarna biru, PAS bukan lagi kawan saya, bukan lagi kawan kepada ramai orang lain yang seperti saya. |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|