Sebelum saya pergi lebih jauh dalam membicarakan hal ini, izinkan untuk saya jangka dulu apa respon negatif dari tajuk di atas. Pastinya ia lebih kurang akan berbunyi begini, "mu cerdik sangatlah, doh bakpe peting sangat ke nok fahang demokrasi ning? Ciptaang yahudi belaka ning, ikut sangatlahhh..." Jawapan saya cukup mudah dan ringkas. Monarki juga bukan sistem Islam, tetapi Islam kemudiannya masuk ke dalam sistem itu dan membuat pengubahsuaian. Di nusantara wujudlah kerajaan-kerajaan monarki Islam yang besar kemudiannya selepas kedatangan Islam seperti Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Demak, Kerajaan Pasai, Kerajaan Acheh dan banyak lagi. Maka begitulah juga demokrasi, roh dan nilai universal Islam boleh masuk dan menambah-baik. Mengapa saya kata PAS tidak faham demokrasi? Dua perkara di sini yang penting. Pertama soal majoriti berkuasa, dan yang kedua soal hilang kepercayaan Dewan. Kerajaan di sesebuah negara atau negeri dibentuk dari pihak yang memegang majoriti. Memang betul, kemenangan di Selangor dalam Pilihanraya Umum 2008 dan 2013 adalah di bawah panji-panji Pakatan Rakyat. Tetapi kenyataan yang harus diterima ialah Pakatan Rakyat sudah tidak ada. Yang wujud dalam landskap politik negara hari ini ialah Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS. Dan dari segi bilangan kerusi, pemegang majoriti di Selangor sekarang adalah Pakatan Harapan. Jika PAS kekal bersendirian, tidak bersama Barisan Nasional, tidak juga bersama Pakatan Harapan, maka ia adalah unit minoriti yang tiada hak dalam sebuah kerajaan demokrasi. Di atas ini ialah cuplikan dari Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, Fasal 6 dan 7. Baca Fasal 7 dahulu, iaitu tentang seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) yang memegang jawatan selama diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, baca permulaannya, TERTAKLUK KEPADA FASAL (6)!
Mengapa tertakluk kepada Fasal 6? Sedangkan Fasal 6 adalah tentang Menteri Besar. Jika anda baca betul-betul anda akan oerasan bahawa Menteri Besar juga adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Fasal 6 menyatakan Menteri Besar sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah meletak jawatan bila tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan. Kaitan ini dengan Fasal 7 dan mengapa Fasal 7 merujuk kepada Fasal 6 ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain boleh meletak jawatan pada bila-bila masa, juga mesti meletak jawatan sepertimana Menteri Besar bila tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan. Berbalik kepada isu kedudukan Exco-Exco dari PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor, mereka hari ini sudah hilang kepercayaan majoriti Dewan. Mengambil kes rampasan kuasa di Perak sebagai "precedent," hilang kepercayaan majoriti Dewan tidak lagi perlu dibuat atau dibukti melalui undi tidak percaya. Wahai Mohd Amar Nik Abdullah, tidak jantan itu bila kita tidak hormat undang-undang.
0 Comments
Ketika saya masih budak-budak, saya belajar mengaji Al-Quran dengan seorang makcik yang saya panggil Che De di kampung saya. Ada seorang pemuda yang baik dengan Che De, mengajar saya perihal solat di sebelah malamnya di tempat yang sama (kemudiannya saya mengetahui pemuda ini berpangkat tiga pupu dengan saya). Saya mula mengaji pada usia 5 tahun dan khatam kali ketiga sewaktu saya di Darjah Lima. Semoga Tuhan merahmati usaha, kesungguhan dan amal-baik mereka. Apa yang saya pasti, sama ada Che De atau pemuda tersebut, mereka bukanlah pendokong PAS.
Maslahah, kepentingan Islam pada skala terkecil di kampung pedalaman seperti di kampung saya itu boleh terjaga tanpa dokongan PAS pun... Kenapa hari ini, mereka yang mengisytiharkan cerai, mereka pula yang mengisytihar mahu terus kekal serumah di Selangor... guna alasan maslahah Islam? Tahaaluf Siyaasi itu kerjasama politik, Kerajaan Negeri Selangor yang ada sekarang juga berdiri di atas kerjasama politik yang sama. Kalau dah putuskan batal, terbatal samalah yang di Selangor itu. Kenapa ada kekecualian? Alasan maslahah Islam tidak boleh dipakai. Apakah tercabut Islam dari pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor tanpa PAS? Apakah bagi PAS, selain PAS yang lain itu sama dengan Ahok? Layak ditanam di jirat? Apakah orang seperti Haji Sa’ari Sungib (Pak Abu Urwah) misalnya, salah seorang ADUN di Negeri Selangor tidak cukup alim bagi PAS untuk menjaga maslahah Islam? Pak Abu Urwah adalah bekas aktivis dan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM). Apakah PAS tidak mahu mengaku bahawa apa yang dilakukan oleh JIM selama ini adalah untuk kepentingan, maslahah Islam? Apakah PAS tidak mahu mengaku semata-mata kerana Pak Abu Urwah bukan PAS, JIM bukan PAS? Apakah dalam Malaysia ini hanya PAS sahaja yang betul dalam menjaga maslahah Islam? Menjuarai hal-hal berkaitan dengan Islam? Apakah pula menjuarai hal-hal Islam itu hanya berkisar sekitar hudud? Sekitar RUU355? Sedang RUU355 itu hanyalah pindaan kepada Akta sedia ada, bukan sesuatu yang baru, mengapa perlu terlebih hiruk-pikuk mendabik dada mahu memperkasakan Islam? Dijaja ke sana-sini di atas pentas politik sehingga terlebih goreng, terlebih hangit? Kalau betul mahu atau menyokong pemerkasaan perundangan Islam di negara ini, jangan hanya melihat kitab ‘uqubat (jinayat), lihat juga kitab ibadat, kitab munakahat, kitab muamalat. Kenapa tidak pernah kedengaran sokongan PAS bila perundangan muamalat Islam diaplikasi dalam sistem kewangan dan perbankan negara ini? Kita mula kenal mudharabah, tijarah, sukuk, musyarakah mutanakisah, tabarru’ dan sebagainya. Bukankah ini semua juga pemerkasaan perundangan Islam? Tanpa kontroversi, tanpa hiruk-pikuk. Atau sebab bukan PAS yang buat, PAS tak dapat keuntungan material dan politik, tak perlu sokonglah... tak ada kalangan Dewan Ulama’ PAS atau Majlis Syura’ Ulama’ PAS yang dilantik jadi Panel Syariah di Suruhanjaya Sekuriti atau dalam mana-mana bank komersil, maka PAS tak perlu sokong. Begitukah? Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui. Tidak semena-mena Pemangku Raja Pahang bertitah, masukkan elemen Diyat dalam prosedur Lembaga Pengampunan DiRaja. Ini kuasa Sultan, ini kuasa negeri, tidak perlu draf Rang Undang-Undang, tidak perlu bentang parlimen, tidak perlu pinda perlembagaan, kaedah ini dalam bab Qisas. Ia mampu menarik sokongan bukan Islam, ia mampu menarik sokongan aktivis kemanusiaan. Sebab apa? Ia di tengah-tengan di antara perbalahan golongan yang menyokong hukuman bunuh dan menentang hukuman bunuh. Islam memberi penyelesaiannya, tanpa hiruk-pikuk, tanpa jajaan politik murahan. Maka berbondong-bondonglah mereka yang menjunjung titah. Saya pun menjunjung titah, sementelah ia sesuatu yang baik. Tetapi kepada PAS saya ingin bertanya, apakah Pemangku Raja Pahang itu lebih alim dari anggota Dewan Ulama’ PAS, lebih alim dari anggota Majlis Syura’ Ulama’ PAS, lebih alim dari Presiden PAS? Mengapa selama PAS memerintah Kelantan, sepenggal memerintah Terengganu, sepenggal memerintah Kedah, PAS tidak pernah mengaju sembah cadangan ini kepada Sultan masing-masing untuk kaedah Diyat diaplikasikan oleh Lembaga Pengampunan DiRaja di negeri-negeri tersebut? Apakah PAS tidak terfikir? (fikir hanya pasal hudud? RUU355?) Apakah Dewan Ulama’ PAS tidak buat kerja? Apakah Pusat Penyelidikan PAS tidak buat kajian? (Dr. Zuhdi sibuk nak jentik orang?) Tuhan sekadar mahu tunjuk, maslahah Islam bukan mutlak milik PAS! Beginilah... maslahah Islam adalah tanggungjawab orang Islam secara keseluruhannya, dan PAS hanya sebahagian kecil dari orang Islam yang ada di negara ini, ramai lagi orang Islam yang berada di luar dari lingkungan PAS. Dan apakah saya boleh meletak kepercayaan kepada satu institusi yang bibir-mulutnya cukup mudah untuk menanjingkan orang, membiawakkan orang, menjebonkan orang, membaruakan orang dalam menjaga kemaslahatan Islam dalam negara ini? Cukuplah... sebelum imej Islam yang songsang sampai ke persepsi masyarakat umum, berundurlah secara terhormat dari Kerajaan Negeri Selangor, demi prinsip tahaaluf yang kamu pegang. Talak satu di Dewan Ulama’, talak dua di muktamar, talak tiga di Majlis Syura’ Ulama’, tak boleh cina buta dah! Parti Keadilan Rakyat Pahang menjunjung kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah di Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Pahang pada 2 Mei 2017 lalu yang mana Baginda menyarankan Jemaah Pengampunan Pahang memakaiguna kaedah pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa pembunuhan kepada banduan yang telah disabitkan atas kesalahan membunuh.
Pemangku Raja Pahang di dalam Titah Baginda telah secara spesifik menyarankan prinsip-prinsip jurispruden Islam iaitu "diyat" sebagai alternatif kepada hukuman mati di atas permohonan yang dimajukan kepada Jemaah Pengampunan Pahang. Diyat atau pemberian pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa kepada banduan yang disabitkan merupakan salah satu elemen penting di dalam pentadbiran keadilan Islam yang mengenengahkan prinsip kemaafan dan kasih-sayang serta tidak berdendam. Ianya juga secara tidak langsung mempamerkan citra sebenar Islam sebagai agama kasih-sayang dan tidak semata-mata menghukum. Diyat secara efmologinya diertikan sebagai denda atau penebusan yang mana seseorang banduan boleh meminta kemaafan atau pengampunan dari waris atau keluarga mangsa dan keluarga mangsa juga berpeluang memberikan kemaafan kepada banduan yang disabitkan dengan kesalahan membunuh dengan cara membayar denda atau penebusan berupa sejumlah harta yang bernilai. KEADILAN Pahang percaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah merujuk kepada firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah ayat 178 di mana keluarga mangsa diberikan kebebasan memberi maaf kepada banduan dan di dalam keadaan ini diyat atau denda hendaklah dikenakan yakni dengan membayar dalam bentuk harta yang bernilai kepada keluarga mangsa. Tuanku Pemangku Raja Pahang turut bertitah bahawa cadangan memakaiguna diyat ini bukanlah terhad kepada banduan Muslim sahaja tetapi boleh diaplikasikan oleh mereka untuk banduan bukan Islam atas prinsip yang sama. Sesungguhnya Titah Baginda ini sangat bertetapan dengan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin (Islam Rahmat Sekelian Alam) serta membuktikan ketinggian Islam itu sendiri. KEADILAN Pahang turut berpandangan peraturan serta peruntukan undang-undang sedia ada yang diberikan kepada Jemaah Pengampunan Pahang tidak menghalang dan memberikan ruang bagi membolehkan diyat dilaksanakan. Demikian itu, KEADILAN Pahang sekali lagi menjunjung kasih di atas Titah Pemangku Raja Pahang yang disifatkan sebagai bersesuaian serta bijaksana dan memartabatkan prinsip keadilan Islam. KEADILAN Pahang menyeru dan menggesa kesemua pihak yang berkaitan mengambil tindakan sewajarnya serta segera bagi membolehkan hasrat dan cita-cita murni Baginda dapat direalisasikan. Sekian Terima Kasih YB Dato Fauzi Abdul Abdul Rahman Bertarikh pada 4 hb Mei 2017 |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|