Saidatina Aishah bila ditanya tentang akhlak Nabi mengatakan bahawa akhlak Nabi itu bagai Al-Quran yang bergerak. Sedang yang dikatakan Ulama' itu pula adalah pewaris Nabi... kita orang biasa bila teringin berakhlak secara Islam akan merujuk kepada Ulama'. Maka kalau diri sekadar Ustaz janganlah pandai-pandai mengangkat dada mengaku Ulama', kesian orang-orang biasa yg sedang dahagakan pedoman.
Bab Gelar-Menggelar: Firman Allah S.W.T mafhumnya “11. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki mengolok-olok kumpulan yang lain, boleh Jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh Jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan Barangsiapa yang tidak bertobat, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim.” (al-Hujuraat: 11) Bab Butir Taik PAP: Sama ada PAP atau DAP, kedua-dua parti ini bukan parti komunis, bukan juga sosialis. Ini parti sosialis demokrat. Bagi golongan kiri dan sosialis (juga komunis), sosialis demokrat secara ideologinya tidak pernah dianggap sebagai sosialis, tidak diiktiraf sebagai golongan kiri. Ia sama sifatnya dengan Parti Buruh di UK. Buruk benar DAP di mata PAS, sedang di dalam DAP juga ada orang Melayu beragama Islam. Teringin nak dengar fatwa Ustaz PAS tentang akidah orang Islam yang ada dalam DAP. Bagaimana pula halnya dengan MCA yang memiliki Nanyang Siang Pau yang telah memenatang-kerakan orang tu? Memang ia sangat tidak wajar, tapi ia juga adalah refleksi dari sikap mulut lembik sesetengah pemimpin Islam yang kurang-ajar. Siapa tahu Presiden pertama MCA yang dikata parti berhaluan kanan itu? Tun Tan Cheng Lock menjadi Presiden pertama MCA pada tahun 1949. Sedangkan sebelum itu pada tahun 1946 beliau telah diangkat sebagai Pengerusi Bersama sebuah gabungan politik kiri PUTERA-AMCJA, gabungan antara PKMM dan Parti Komunis Malaya. Jadi kalau DAP itu dari butir taik PAP, MCA ni kita nak kategorikan kelahirannya dari lubang najis mana? Jangan hanya kerana kita dah termakan dedak Umno, semuanya salah DAP... maka kita lupa adab, kita jadi biadab. Kalau dah mengaku parti awak bukan sekadar politik, parti awak juga wahana dakwah, maka berdakwahlah dengan akhlak, ikut akhlak Nabi! Jangan ikut akhlak babi, menyondol tak tentu pasal... Sekian tazkirah dari saya. Tajuk di atas adalah sebuah judul lagu, tetapi bukanlah lagu itu yang ingin saya dendangkan di sini. Dalam konteks tulisan ini, ia hanya membawa dua konotasi. Pertama, apakah bulan putih PAS sudah berubah menjadi biru pekat? Menjadi mesra Barisan Nasional (BN) walau tidak berada dalam BN, seperti IPF satu masa dahulu? Kedua, kalau yang pertama salah, apakah wajah PAS hari ini sudah kebiruan akibat dimalu, dipermain dan diperkudakan Umno dan BN?
Latar belakang asas tulisan ini adalah adegan drama pendek tiga babak RUU355 yang mana watak utamanya adalah Haji Hadi. Bermula dengan Tangguh, Tangguh, Bentang/Tangguh. Tangguh kali pertama dan kedua dibuat Haji Hadi sendiri tanpa pembentangan, sementara yang ketiga usulnya dibentangkan oleh Haji Hadi tetapi ditangguhkan pula oleh Speaker tanpa perbahasan, apalagi pengundian. Peliknya, sama ada tindakan Speaker atau kenyataan Datuk Dr. S.Subramaniam, Presiden MIC yang memberitahu bahawa skrip drama bentang tanpa bahas itu sudah diketahui awal oleh pihak Umno dan BN tidak pula mendapat bantahan dari mana-mana pimpinan PAS. Apakah PAS juga bersama menulis skrip itu? Persoalan ini membawa kepada konotasi pertama tadi, apakah PAS sudah menjadi mesra BN? Soal mengapa ia tidak dibahaskan sekarang sudah menjadi soal kedua, yang utama apakah sudah wujud kerjasama rasmi di antara PAS dan Umno dalam diam? Apakah PAS sudah menjadi mesra BN walaupun tidak berada dalam BN? Apakah ini "UG - The Sequel," yang di ketika hayat Almarhum Tok Guru Nik Aziz adalah sebuah hubungan haram yang tidak pernah diperkenankan oleh beliau? Kenapa tiba-tiba PAS tanpa Nik Aziz boleh menjadi percaya kepada Umno dan BN, boleh percaya dengan gula-gula yang dihulur Najib? Janji Melayu, janji Islam? Sejak bila Umno ikhlas bila bercakap soal Islam, soal Melayu? Malangnya bila PAS mula melupakan yang parti mereka pernah dizalimi puluhan tahun oleh Umno dan BN, lebih malang jika PAS boleh percaya Umno hari ini yang diterajui Najib lebih boleh dipercayai dalam membentuk kerjasama untuk memperkasakan perlaksanaan Islam di negara ini. Ingin saya ingatkan, bahawa kita melawan Umno dan BN, di bawah Mahathir, di bawah Pak Lah, di bawah Najib, utamanya bukan kerana kejahatan, kezaliman atau ketidalayakan mereka, tetapi kerana sistem yang dibawa Umno dan BN hari ini adalah sistem yang rosak dan korup. Sistem yang rosak dan korup inilah yang menaikkan pemimpin yang jahat, zalim dan tiada kelayakan. Apakah PAS boleh percaya Najib yang naik dari sistem sebegini punya iltizam atau sekurang-kurangnya akan memberi sedikit ruang untuk perlaksanaan apa yang diperjuangkan PAS selama ini? Bukan PAS yang meletak Najib di tempatnya sekarang tetapi sistem yang rosak dan korup itulah... jika dalam persimpangan yang terdesak, percayalah, Najib akan meninggalkan PAS terkontang-kanting dengan harapan tanpa kesudahan. Atau apakah ini politik matang dan sejahtera PAS? Memberi peluang kepada Najib, Umno dan BN untuk dipercaya walau sekali? Kalau seluruh isi kepimpinan PAS percaya akan hal ini, inilah yang betul, inilah yang Islam, bagaimana pula dengan pendekatan politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebelum ini? Kalau tidak matang dan sejahtera, adakah pendekatan Nik Aziz dulu adalah pendekatan menatang dan kera? (maaf jika kasar, ada orang lain yang lebih suka membinatangkan orang lain berbanding saya) Jika inilah politik matang dan sejahtera, bagaimana pula dengan penentangan PAS terhadap Saudara Anwar Ibrahim selama 16 tahun dalam Umno? Bukankah Anwar yang suatu ketika Presiden ABIM yang dilihat dekat dengan PAS tetapi mengambil keputusan menyertai Umno atas sebab yang sama? Sambil "bersejahtera" dengan Umno, Anwar mengambil peluang itu mempengaruhi kepimpinan Umno melaksanakan Islam dalam pentadbiran, ekonomi dan pendidikan. Bank Islam, Universiti Islam, Sistem Kewangan Islam, Dasar Penerapan Islam dalam Pentadbiran antara yang berjaya digagaskan. Apa beza ini semua dengan RUU355 dari segi memperkasakan Islam? Apakah politik Anwar juga politik menatang dan kera? Apakah PAS menyokong? Maaf cakap, di dalam tempoh itu jugalah isu kafir mengkafir sedang hebat, isu toghut dan sebagainya, hasil dari amanat seorang pemimpin PAS yang mengaku matang dan sejahtera, yang bernama Haji Hadi. Seperti kita semua maklum, Anwar akhirnya tercampak keluar dari Umno dan BN. Maksudnya di dalam BN, sistem yang rosak dan korup lebih berkuasa dari pemimpin yang beriltizam. Apakah PAS tega untuk menempuh jalan yang sama? Berdasarkan konotasi kedua pula, keadaannya adalah PAS sudah di"check-mate" sekarang. Wajah PAS sudah kebiruan kerana malu dan terkedu. Terkedu pertama kerana keengganan pihak kerajaan pimpinan Umno untuk membentangkan RUU355 di Parlimen, sebaliknya memulangkan kepada pihak PAS, kekal sebagai RUU Persendirian. Terkedu kedua kerana tindakan Speaker yang juga dari BN yang menangguhkan Sidang Dewan sebaik sahaja selepas pembentangan usul dari Haji Hadi tanpa perbahasan. Terkedu ketiga ialah bila Presiden MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam memberitahu bahawa keputusan untuk tidak membahaskan usul Haji Hadi itu adalah keputusan Umno dan BN sebelum dewan bersidang lagi. Kerana terkedulah dan wajah sudah kebiruan maka tidak ada tindak balas dari PAS terhadap tindakan-tindakan Umno dan BN ini. Hanya ego Haji Hadi dan pemimpin sealirannya sahaja yang setakat ini menghalang mereka untuk mengaku bahawa mereka telah terkena. Tetapi janganlah pula kerana hilang kata-kata akibat diberak-kencing oleh Umno dan BN itu, PAS mengerahkan gerombolannya untuk memaki dan menyalahkan orang lain pula, DAP anti Islam, PH tak sokong Islam... bila pula kita berbahas dan mengundi, yang tahu sangat sokong tak sokong tu? Kalau benarlah PAS benar-benar berusaha mahu memperkasakan Islam melalui RUU355, masa masih ada sementara menunggu sidang seterusnya bagi pembentangan semula dan perbahasan. PAS mesti sanggup melepaskan isu ini dari sekadar menjadi modal untuk PAS menonjolkan diri semula selepas perpecahan, atau dari sekadar menjadi modal yang dipergunakan oleh Umno dan BN untuk melambatkan tempoh kejatuhan mereka, tempoh kejatuhan Najib Razak. Percayalah, isu agama dan kaum sebagai senjata pecah-perintah sudah tidak terpakai di era media sosial ini. Waktu inilah, PAS boleh betul-betul mahu menguji keikhlasan Umno pimpinan Najib sama ada mahu menyokong atau tidak RUU355 ini. Kita tiada masalah dengan perkara yang baik, kalau betul baik kita sokong asal caranya juga baik. Berkomplot dengan satu pihak yang rosak dan korup sistemnya, Najib itu apatah lagilah, atas alasan memperkasakan Islam tidak boleh diterima, matlamat tidak akan selama-lamanya menghalalkan cara! Tidak perlu ada perundingan sulit kalau benar-benar mahu memperkasakan Islam melalui RUU355. PAS hanya perlu meminta dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk membentuk satu "Consultative Council" RUU355 yang melibatkan JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Mufti-Mufti Negeri, Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri, juga "stakeholders" lain seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), di Negeri Pahang ada Persatuan Peguam Syarie Negeri Pahang (isteri saya adalah setiausahanya), mungkin juga wakil peguam Islam dari Malaysian Bar, dan lain-lain yang berkenaan. Dengan cara ini ia akan menjadi isu massa, bukan lagi isu politik sempit, membina kuasa tekanan dan "demand" yang lebih besar, serta sudah tentulah harapan kejayaan untuk pemerkasaan Islam itu akan menjadi lebih tinggi. Dengan cara ini juga, PAS sudah pasti bakal mendapat lebih penghormatan, barangkali turut mampu membentuk kumpulan-kumpulan sokongan yang baru. RUU355 sepatutnya menjadi idea yang betul, di tangan pihak yang betul, diusahakan secara betul, dengan kaedah yang betul dan membuahkan hasil yang betul. Jangan akhirnya yang terkesan adalah wajah putih-bersih bulan PAS. Bila bulan berwarna biru, PAS bukan lagi kawan saya, bukan lagi kawan kepada ramai orang lain yang seperti saya. Hari ini 4 April 2017 merupakan hari ulangtahun penubuhan Parti Keadilan Rakyat (Parti Keadilan Nasional dulunya) yang ke-18. Pada tarikh yang sama, 18 tahun yang lalu, 1999, saya berada di Renaissance Hotel, Kuala Lumpur, bersama memetarai sejarah nusa, mendaftar sebagai ahli, dan berasimilisasi dengan keriuhan semangat reformasi. Pada perkiraan saya, dalam sejarah politik negara pasca-Malaysia, inilah satu-satunya parti politik moden yang lahir dari tumpahan keringat, airmata dan darah warganya.
Bukan detik ini yang saya ingin imbau, tetapi adalah apa yang ditajukkan pada tulisan ini, tarikh yang sama, tujuh tahun selepas penubuhan Keadilan, 4 April 2006. Berbeza dengan saya sebagai orang biasa di tahun 1999 itu, pada tahun 2006 saya sudah mendaki tangga kepimpinan parti. Pada waktu itu saya adalah Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Di Bahagian Indera Mahkota (kini Cabang) pula, saya adalah Setiausa dan Ketua Angkatan Muda. Hari itu, seperti hari ini, adalah hari istimewa, ulangtahun sebuah parti reformasi. Saya merangka satu acara istimewa, BACA PUISI REFORMASI! Saya langsungkannya pada jam 9.00 malam di dewan Putra Balok, Kuantan yang saya sewa dari PAS Indera Mahkota (saya ulang, SEWA). Antara tetamu jemputan saya adalah Saudara Ezam (ketika itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia), Saudari Nurul Izzah, Chegu Bard, Grup UBU dan ramai lagi. Saudara Zakaria Hamid dan Almarhum Cikgu Dzul turut hadir. Sekitar jam 6.00 petang, saya terima panggilan dari Saudara Sani, timbalan saya yang memberitahu bahawa dewan Putra sudah dikepung polis. Saya hanya tergelak kerana memikirkan yang kepungan itu mungkin sekadar bermaksud jumlah kehadiran polis yang agak ramai. Saya memberitahu Sani yang saya akan sampai dalam pukul 8.00 malam. Saya sampai tepat jam 8.00 malam dan suasana betul-betul mengejutkan. Bukan sekatan janlanraya yang menyusahkan itu yang saya maksudkan, tetapi dewan Putra Balok yang berbentuk empat segi itu dikepung oleh PORU (Unit Anti Rusuhan), Pasukan Gerakan Am dari Kem Galing berkekuatan lima trak dengan formasi berbaris empat segi juga, maksudnya tiada ruang untuk mencelah. Saya ambil keputusan untuk minum di gerai bersebelahan. Anak muda PAS yang bertugas menjaga dewan Putra menelefon saya memberitahu dia tidak dapat masuk dan bertanya sama ada saya mahu teruskan atau tidak. Saya kata ya, kita akan teruskan, kita tunggu kehadiran Nurul Izzah dan kita akan masuk dengannya, polis tidak akan berani menyentuh Nurul, saya bagi jaminan, dia bersetuju dan turut bersemangat. Bila Nurul Izzah sampai kami terus membawanya masuk tanpa mengindahkan kepungan ketat pihak polis itu. Saya terus membuat pengumuman dari dalam dewan bahawa program akan diteruskan, sesiapa yang berani boleh masuk, sesiapa yang tidak berani tidak apa kerana saya faham akan kerisauan yang sedang bersarang. Tidak perlulah saya ceritakan gangguan-gangguan yang pihak polis buat sepanjang acara saya berjalan. Saya yakin saya sedang mempertahankan hak saya. Acara saya adalah di dewan tertutup, milik persendirian dan bertiket serta tidak memerlukan permit. Pihak polis tidak punya satu asas munasabah pun untuk mengganggu program saya. Tetapi kehadiran grup UBU yang berambut panjang dan bergaya selekeh itu membuatkan mereka mencium satu peluang… Sebaik sahaja tetamu-tetamu utama saya meninggalkan majlis, sebaik sahaja saya umumkan “terima kasih demokrasi kerana membenarkan kami membaca puisi dalam kepungan pak-pak polisi,” pihak polis terus menyerbu masuk. Bukan PORU dari PGA, bukan Special Branch, tetapi polis dari Cawangan Anti Dadah! Anda boleh menangkap naratif mereka? Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Lapan orang ditahan termasuk saya, dan kami dibebaskan pada jam 2.00 pagi tanpa apa-apa dakwaan atau tindakan. Jelas ia satu tindakan provokasi dari polis untuk menakut-nakutkan penduduk sekitar dan anak-anak muda yang hadir. Oh ya… pagi esoknya saya memarahi pegawai cawangan khas melalui panggilan telefon, tetapi dia meminta maaf banyak-banyak dan memberitahu saya Special Branch tidak terlibat dengan apa yang berlaku malam tadi, ia adalah arahan langsung dari OCPD. Eh… perlukan saya cerita semua ini? Ada lagikah orang yang mahu mendengar cerita sukar dan lelah ini? Orang Keadilan sekarang bersembang apa ya… projek apa yang boleh dapat dari Selangor atau Pulau Pinang? Tentang bilakah giliran mahu diangkat sebagai Ahli Majlis? Yang membuat kerja parti itu buat kerja perjuangan atau kerja Pra-YB? Ini sejarah saya, acara BACA PUISI REFORMASI saya berakhir rugi, ia bertiket tetapi orang tidak dapat masuk. Saya menanggung hutang bahkan ada yang belum langsai. Bakinya tidaklah banyak, tetapi kenapa saya keberatan? Kerana saya mula terfikir, adakah ia hutang saya, hutang perjuangan, atau hutang parti? Saya cuma mahu meraikan hari jadi parti reformasi ini. Apapun selamat menyambut ulangtahun kelahiran buat Parti Keadilan Rakyat, moga nadimu masih mendenyut rima perjuangan. Salam... kata orang tua, sedikit tanda ingat, banyak tanda ada. Kalaupun tidak ramai, saya harap masih ada yang ingat bahawa saya pernah secara aktif menulis untuk reformasi. Dalam keterbatasan masa, kesibukan kerja, dan kepenatan melayan keletah putri-putri manja, hati saya masih mekar bila memikir soal perjuangan, perasaan saya masih membuak bila teringat kecurangan para pemimpin, tidak kiralah dari kiblat politik mana sekalipun.
Saya masih mahu terus berjuang, saya masih mahu terus menyumbang. Saya cuba untuk menulis kembali... Zukri Aksah |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|