Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd Syukur pada Tuhan, buat kesekian tahunnya, kita berjaya menyempurnakan sebulan puasa pada bulan Ramadhan. Hari ini kita menyambut hari kemenangannya, Hari Raya Aidil Fitri. Mewakili Keadilan Negeri Pahang, saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Negeri Pahang, Selamat Berlebaran dan Bermaaf-maafan. Sebulan yang lepas ini juga, kita berusaha melengkapkan solat terawih di setiap malamnya. Ada antara kita yang bertadarus hingga khatam 30 juzuk Al-Quran dalam masa 30 hari. Rumah-rumah kebajikan, anak yatim dan seumpamanya meriah dengan aktiviti sedekah iftar dan bantuan Raya. Ketiga-tiga ini adalah amalan sunat yang paling dituntut dan paling besar pahalanya dalam bulan Ramadhan. Kemenangan apa yang kita sambut hari ini, hingga kita tidak dibenarkan bersedih pada 1 Syawal yang mulia ini? Puasa, zakat fitrah, terawih, sedekah dan tadarus Al-Quran sebulan pada Ramadhan yang baru berlalu bertujuan untuk mengembalikan kita kepada fitrah, sebab itu perayaan ini juga dikenal sebagai Hari Raya Fitrah. Penyempurnaan Ramadhan bermaksud kita sempurna berbalik kepada fitrah, itulah kejayaan yang kita sambut hari ini, Hari Raya Aidil Fitri. Apa fitrah kita? Tidak kira siapa kita, fitrah kita semua asalnya Islam, apa maksudnya? Islam dari segi bahasa bermaksud patuh dan tunduk. Patuh dan tunduk kepada kebaikan, ingkar dan menolak segala amal jahat serta mungkar. Ramadhan yang sempurna bukan setakat membuat kita ingkar dan menolak amal jahat serta mungkar, bahkan akan menghindar kita dari condong kepada perlakuan atau orang yang melakukan perkara-perkara sebegitu. Perbuatan pemimpin mencukai rakyat hingga merangkumi golongan miskin dan susah seperti perlaksanaan GST adalah amal jahat dan mungkar. Bahkan baru-baru ini jika tidak dibantah, sebahagian dari bahan mentah asas makanan akan mula dikenakan GST. Pemimpin yang melaksanakan regim percukaian ini sudah satu hal, tetapi harus diingat, orang yang tahu dan berdiam diri, malahan mahu bertaawun dengan golongan ini, dilihat condong dan terpalit sama dengan kezaliman yang sedang berlaku. Orang yang terlibat dengan skandal 1MDB adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Orang yang terlibat dengan skandal FGV adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Orang yang terlibat dengan skandal MARA, SRC, KWAP dan seumpamanya adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Kesemua ini membabitkan wang negara, wang rakyat. Menggetarkan bila semua skandal ini merujuk kepada atau berhubungan dengan Umno dan BN atau pemimpin-pemimpinnya, yang secara faktanya adalah kelompok yang memerintah negara ini. Jika amal jahat dan mungkar ini berterusan, ini bermaksud mereka tidak kembali kepada fitrah, sebab fitrah seperti yang saya sebutkan tadi adalah patuh dan tunduk kepada kebaikan. Jika kita, yang bergembira di 1 Syawal ini, yang merasa kita menang setelah menempuh sebulan bulan Ramadhan, tetapi tidak melakukan apa-apa bila pemimpin secara terang-terangan melakukan amal jahat dan mungkar, seperti dasar yang membeban, korupsi dan salah guna kuasa, maka kita harus bertanya kembali kepada diri kita sendiri, apakah kita benar-benar sudah kembali kepada fitrah? Ayuhlah semua... tunjukkan kepada mereka yang menzalimi rakyat, mereka yang khianat amanah rakyat dalam mengurus harta negara, mereka yang menyusahkan rakyat, bahawa rakyat sedang belajar sesuatu yang besar dari kemenangan 1 Syawal kali ini. Jadikanlah 1 Syawal kali ini sebagai penggerak momentum kemenangan seterusnya, kemenangan menundukkan pemimpin yang angkuh dan bongkak. Sebagai orang yang sudah kembali kepada fitrah, tetapkanlah pendirian kita bahawasanya, kita tidak akan sesekali bertahaluf atau bertaawun dengan pemimpin yang ingkar dan menolak kebaikan, dalam masa yang sama melaku amal jahat dan mungkar terhadap rakyat. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd Sekian. Maaf zahir batin dari Keadilan Negeri Pahang. Wassalam. Zukri Aksah 1 Syawal 1438H
0 Comments
|
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|