Saya menekuni “kenyataan di balik jeriji” terbaru Saudara Anwar Ibrahim, perihal ketidakapaannya terhadap inisiatif Azmin Ali untuk terus cuba berunding dengan PAS (dalam kerangka PH?). Saya juga membaca kenyataan beberapa pimpinan Umno mutakhir ini tentang kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS juga.
Tidakkah kalian lihat? PAS memang mahu berada di bawah lampu limpah politik. PAS terbuai dengan keadaan ini, mereka merasa mereka besar, merasa mereka kuat, merasa mereka hebat, merasa mereka mahal! Mereka merasa mereka sedang menguatkan Islam, padahal mereka sebenarnya sedang tenggelam dalam rasa ujub pimpinan mereka sendiri. Meminjam kata Haji Hadi, Umno - BN adalah biawak hidup dan Pakatan Harapan adalah biawak hidup yang lebih bahaya. Maka kelihatannya sekarang sang biawak hidup dan sang biawak hidup yang lebih bahaya sedang berlumba-lumba menagih kekuatan abang sado PAS untuk memikul mereka. Soalnya kuatkah PAS? Nantikan tidak sampai sepelaung, dari niat nak menunggeng, kita yang jatuh tertunggeng. Atau sekadar berstrategi untuk dilihat penting? Lebih penting dinyatakan di sini ialah PAS melihat Umno - BN dan PH tidak lebih sekadar batu yang menjadi beban untuk digalas, dari “mantik mengarut” Haji Hadi, PH adalah batu yang lebih besar. Namun PAS seringkali pula, terutama melalui kenyataan Timbalan Presidennya bersedia dengan kemungkinan segala bentuk kerjasama. Tidak jelaskan lagi bahawa ini adalah gila kuasa paling tidak berprinsip? Saya kata PAS murah tetapi kita sendiri yang memahalkannya! Dari segi Kitaran Hayat Organisasi, PAS hampir sama dengan Umno - BN, berada di peringkat penetrasi rakyat pada ketika yang hampir sama (walau sedikit terkebelakang), mendaki peringkat pengembangan pada tempoh yang hampir sama, mencapai peringkat kematangan juga pada masa yang hampir sama. Sekarang sama ada PAS atau Umno - BN, mereka berada di peringkat kejatuhan (decline). Bezanya cuma, selama melalui Kitaran Hayat ini, PAS sentiasa berada di bawah Umno - BN dalam keluk yang sama. Untuk terus berdaya tahan, kekal kompetitif kedua-dua PAS dan Umno - BN perlukan strategi baru, pendekatan baru serta penjenamaan semula. Kalian sudah dengar tentang TN50 dan Politik Matang dan Sejahtera. Soalnya apakah slogan sudah mencukupi untuk kembali membina sokongan? Apalagi kedua-duanya, PAS dan Umno - BN baru melepasi tempoh perpecahan mereka dengan kelahiran Amanah dan Bersatu. Mereka perlukan rakan baru, perlukan sekutu baru. Jika tiada sekutu ataupun sekutu yang ada mungkin boleh menenggelamkan mereka, cuma ada satu pilihan terakhir, mereka yang asalnya musuh ini bersatu! Bersama memasuki Kitaran Hayat yang baru. PAS seringkali mengasbab kekuatan mereka dengan keramaian jenteranya. Tetapi apakah keramaian itu kekuatan yang memenangkan? Beranikah PAS mengaku bahawa kemenangan PAS di Terengganu pada PRU 1999 disebabkan keramaian jenteranya? Kalau ya mengapa dalam PRU 2004 boleh tersadung jatuh berdebuk? Haji Hadi ketika itu pun kalah di Parlimen Marang dengan majoriti tipis 163 undi. Inilah yang saya kata ramai tetapi tidak cerdik. Bayangkan dalam seramai-ramai jentera yang PAS ada, di lubuk mereka pula, tidak ada seorang pun… termasuk Haji Hadi sendiri meminta kiraan semula, sedangkan PAS Marang ketika itu berhak kerana majoriti kalah yang sangat kecil itu. Ini juga mengingatkan saya akan pengalaman saya bertanding dalam PRU 2004 di DUN Semambu. Saya akui jentera PAS besar, jentera Keadilan kecil ketika itu. Arwah Cikgu Dzul yang berasal dari PRM diamanah untuk menjadi Ketua Penaja Bahagian Indera Mahkota, sementara saya adalah Ketua AMK. Jawatankuasa Bahagian (sekarang Cabang) hanya dibentuk sebulan sebelum pembubaran parlimen, lebih kurang dua bulan sebelum pilihanraya. Setiausaha MTD Semambu (PAS) ketika itu datang menemui saya berbincang soal kerjasama, menghulurkan buku panduan PACA kepada saya untuk rujukan, beliau mendakwa buku itu hasil tulisannya. Saya berterima kasih dan berjanji apabila jentera dapat dikumpulkan secukupnya saya akan memanggil beliau untuk melatih PACA berdasarkan buku yang diberikannya itu. Tetapi apabila tiba masanya dan saya menghubungi beliau untuk mengendali latihan PACA, beliau teragak-agak dan mengata beliau tidak tahu, hanya tahu tulis sahaja! Saya gelak dalam hati sahajalah. Akhirnya saya sendiri yang mengendalikan kelas latihan tersebut (saya adalah polling agent dan counting agent dalam PRK Lunas 1999 yang menyaksikan Keadilan menang melalui Saudara Saifuddin Nasution Ismail). Sekali lagi harapkan ada sahaja… tetapi tidak cerdik. Saya sekali lagi masuk ke DUN Semambu dalam PRU 2013, kali ini sebagai wakil calon kepada Lee Chean Chung (yang kemudiannya menang dan bergelar YB). Pada hari mengundi, saya kira sudah mencecah waktu Maghrib ketika itu, seorang counting agent PAS datang berjumpa dengan saya memberitahu dengan cemas bahawa beliau gagal memperoleh Borang 14 kerana enggan diberi oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM). Saya hanya gelak, itukan memang hak counting agent untuk mendapatkannya. Kalau ada counting agent tetapi tidak tahu apa yang perlu dibuat, apa yang boleh dibuat, samalah dengan tidak ada! Saya katakan padanya, tidak apalah, kita dah menang. Biarlah saya tegaskan di sini… Orang yang paling tidak cerdik pun dalam politik tahu bahawa menyatukan semua kekuatan pembangkang adalah paling bagus untuk melawan Umno - BN. Satu lawan satu boleh (saya kata boleh, tidak semestinya!) menjadi jalan terbaik mengatasi pengaruh Umno - BN. Semua ini boleh difahami semua tanpa perlu menunggu amanat dari Anwar Ibrahim pun. Malangnya, dalam kerencaman politik hari ini, senario di atas hanya nampak bagus di atas kertas sahaja. Hakikatnya tidak begitu! Memang Anwar pernah berjaya menyatukan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat suatu masa dahulu, tetapi keadaannya tidak sama langsung dengan keadaan Pakatan Harapan dan PAS sekarang. PAS sekarang seperti takal pemusing, sebelah tali dipegang oleh Azmin, sebelah lagi mengikat tengkuk Amanah. Semakin kuat Azmin menarik tali itu maka semakin kuat ia akan menjerut tengkuk Amanah. Keadilan perlu memutuskan segera kita mahu berada dengan siapa, jangan tunggu sampai Azmin terlalu kuat menarik sehingga Amanah terheret keluar, sedang PAS belum tentu sampai ke ribaan kita, akhirnya kita akan kehilangan semua. Di sinilah rasionalnya panggilan Kongres Khas. Apakah permuafakatan politik tidak berkait dasar? Apakah dengan adanya perbincangan lain dengan PAS tidak akan mencalar dasar yang telah dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan? Strategi APU dan Gagasan Rakyat tidak pernah menawan rakyat, akhirnya Semangat 46 dan Ku Li yang terburai… usah kita bawa Keadilan ke lubang ular yang sama. Rakyat memang mahu memberikan kepercayaan kepada kita, mood PRU 2013 membuktikannya. Untuk itu kita memerlukan kesatuan yang kuat, kesatuan yang kuat tidak bermaksud kita mampu mengutip semua parti politik yang bukan berada dalam BN bersama dengan kita. Kesatuan yang kuat dilihat rakyat dari kesepakatan yang teguh, ketegapan pendirian dalam membuat keputusan, jangan bila Majlis Presiden sudah membuat keputusan, ada pula kalangan pimpinan yang memberi kenyataan dengan kecenderungan berbeza. Jika parti, parti-parti dan Pakatan Harapan sendiri mempunyai kenyataan yang saling bercanggah, rakyat akan jadi keliru dan hilang keyakinan. Awal kenyataan terbaru Anwar sendiri mengakui bahawa pimpinan Pakatan Harapan telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan PAS, noktah. Anwar Ibrahim memang seorang yang berjiwa besar, kerana jiwa besarnyalah kita angkat beliau sebagai pemimpin, pemimpin yang tidak boleh dicabar kedudukannya di dalam parti. Kita proklamasikan kedudukannya sebagai Ketua Umum Keadilan lewat Kongres. Tetapi jiwa besarnya sering menjadi lubang lumayan buat oportunis politik. Saya sudah tulis ini semua lama dahulu semasa saya menjadi kolumnis Harakahdaily. Zahrain Hashim, Salehuddin Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri, Zulkifli Noordin dan Nallakarupan. Hampir kesemuanya Datuk bergelar dan menjadi pemimpin parti suatu ketika kerana mereka adalah dalam rantaian Anwar. Orang-orang lama Keadilan pasti kenal nama-nama ini dan tahu kesudahan mereka. Maaf kalau ada yang tidak setuju, tetapi apa yang saya ingin katakan adalah jiwa besar Anwar sering memandu beliau membuat perhubungan dengan orang yang salah. Jika satu keputusan tidak diambil deretan nama di atas bakal bertambah, orang seterusnya tidak lain tidak bukan adalah Haji Hadi. Saya tetap dengan pendirian bahawa Pakatan Harapan secara nasionalnya boleh menjadi kuat tanpa PAS. Muhyiddin Yassin ketika masih menjadi Timbalan Presiden Umno mendedahkan bahawa jika Pakatan Rakyat ketika itu mampu menambah 2% lagi sokongan maka Umno - BN akan kehilangan Putrajaya. Apakah dengan gabungan Amanah dan PPBM kita tidak mampu mendapat sokongan yang hilang dari PAS dengan ditambah 2% lagi? Parlimen Bera contohnya tidak boleh menjadi model bagaimana kita hilang peluang menang kerana terjadi pertandingan tiga penjuru, kerana Parlimen Indera Mahkota dan DUN Semambu juga melalui senario yang sama, lebih lagi calon ketiga yang bertanding dalam PRU 2013 di Parlimen Indera Mahkota dan DUN Semambu kedua-duanya berasal dari Keadilan. Perbandingannya begini, Keadilan yang bertanding tiga penjuru di DUN Semambu boleh menang dengan majoriti tiga ribu lebih, tetapi PAS yang bertanding di DUN Beserah dalam parlimen yang sama dengan pertembungan dua penjuru sahaja menang dengan majoriti yang sama. Jelaskan PAS tidak kuat, PAS tidak mahal! Panjang lagi kalau saya sambung tulisan ini, cukuplah di sini. Biarlah saya akhiri dengan pantun; Apa diharap padi seberang Entah menjadi entahkan tidak Apa diharap kasihnya orang Entahkan sudi entahkan tidak Zukri Aksah
0 Comments
|
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|