KENYATAAN MEDIA KHAS BERHUBUNG DENGAN TUNTUTAN KONGRES KHAS BAGI PENYELESAIAN HUBUNGAN DENGAN PAS28/8/2017 Penentangan terhadap tindakan segelintir pimpinan kanan parti yang terus-terusan secara tidak malu mahu terus bersekedudukan dengan PAS bukanlah baru berlaku, bukan hari ini lewat Sidang Media yang berlangsung pagi tadi di Kuala Lumpur. Sidang media pagi tadi adalah penentangan kumulatif sejak berbulan-bulan dahulu dari seluruh negara. Seruan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Cabang untuk menyokong panggilan Kongres Nasional Khas bukanlah dibuat atas dasar kebencian, tetapi atas dasar tanggungjawab menjaga air muka dan maruah Parti Keadilan Rakyat yang sudah begitu teruk tercalar… Lebih teruk bila kita ditanya apakah parti kita ada harga diri? Dalam masa kita sudah banyak kali dicerai, difarak, difasakh, masih ada kalangan pimpinan kita yang terhegeh-hegeh, dengan menjual nama Anwar kononnya PAS masih perlu dipeluk-cium… gila talak pun tidak segila ini? Untuk segelintir pimpinan ini, saya mohon bertanya, apakah nama Anwar yang dijual itu diterima PAS sebagai mahar? Atau bakal disepak-terajang sekali lagi?
Penentangan ini bukan bermula hari ini, ia sudah lama dan merata, terpecah-terpecah. Penentangan bukan datang dari Rafizi, penentangan bukan dibina di dalam Invoke. Rafizi cuma menjadi pimpinan kanan parti yang cuba membawa suara ini ke atas. Penentangan secara diplomatik dan beradab-sopan sudah dibuat lama tapi segelintir pimpinan yang keras kepala ini terlalu angkuh, merasa mereka sangat hebat dan kuat… apakah mereka sudah buta hati dan pekak badak? Lalu berlangsunglah sidang media pagi ini menggariskan keperluan Kongres Nasional Khas dalam mencari titik noktah kemelut hubungan dengan PAS. Ada yang merasa ia tiba-tiba, mengejutkan dan menggamit kebisingan yang melampau untuk sebuah parti politik seperti Parti Keadilan Rakyat ini. Saya katakan biarlah, kerana itu sememangnya respon yang dimahukan. Bhagat Singh memasang bom di ruang tengah parlimen, dia tiada niat mahu mencederakan sesiapa, dia cuma mahu penguasa yang pekak akhirnya dapat mendengar! Dia juga memang mendedahkan dirinya untuk ditangkap supaya dia dapat bercakap di kandang mahkamah. Dalam konteks Parti Keadilan Rakyat, kita memang berniat menghasilkan kebisingan melampau supaya akhirnya segelintir pimpinan kanan parti yang tuli dan pekak akan mendengar. Kita juga secara sukarela mendedahkan siapa kita, tidak berselindung di sebalik nama-nama samaran bak Ratu Naga atau Putera Badak! Percayalah, kita sudah sampai di persimpangan kritikal yang memaksa kita membuat keputusan tegas. Dalam keadaan paling ideal, kita memang mahukan satu lawan satu dalam berdepan dengan Umno dan BN. Tetapi jika semata-mata mahukan satu lawan satu, dalam masa yang sama kita serlahkan pendirian kita yang lembik di depan PAS, berkompromi terlalu banyak perkara sehingga melibatkan air muka, maruah dan harga diri parti, mengkesampingkan banyak pandangan dan teguran rakan-rakan dari Pakatan Harapan, akhirnya di hadapan rakyat, di hadapan rakan-rakan Pakatan Harapan juga, kita akan dilihat sebagai tidak layak untuk memimpin, tidak tegas dan takut dengan ketidakyakinan pada kekuatan sendiri. Kepada segelintir pimpinan kanan parti yang sedang mabuk kuasa, jangan kerana sayangkan kedudukan di sebuah negeri, percaturan kita akan menjatuh-rudumkan potensi yang kita ada di negeri lain di seluruh negara. Lebih baiklah kita melawan tiga penjuru dalam keadaan kita dilihat tegas, berprinsip, bermaruah dan kekal dengan jalan reformasi. Kita ada sebab yang kuat mengapa kita sudah tidak mahu berhubungan dengan PAS. Bukan hanya kerana sikap mereka terhadap kita dengan tuduhan yang bermacam dan berterusan. Sikap mereka yang kebelakangan ini mula berbaik dan mesra Umno juga menjadi persoalan. Alasan ta’awun langsung tidak boleh diguna-pakai, bertolong-tolongan untuk perkara baik kononnya. Contohnya begini, si P yang alim sedia bekerjasama dengan U yang diketahui memang pencuri dan kuat rasuah untuk membina masjid, maka kedua-dua pihak saling menyumbang bagi kerjasama ini. Apakah ia ta’awun sedang dalam masa yang sama sumbangan pihak U datang dari hasil curian dan rasuah? PAS juga telah menzahirkan cita-cita mereka mahu menjadi “playmaker” dalam kondisi yang sangat longgar. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mendedahkan jika PAS menang 20 kerusi maka mereka boleh pergi sama ada ke BN atau ke Pakatan Harapan, mereka akan menjadi mahal kepada BN atau Pakatan Harapan yang mahu membentuk kerajaan. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa PAS sudah hilang prinsip perjuangan. Demi kuasa PAS sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja, sama ada dengan biawak hidup atau dengan biawak hidup yang lebih bahaya. PAS sudah menjadi janda berhias, janda berhias secara harfiahnya suka mengikis harta lelaki. Janda berhias PAS pula suka mengikis kuasa dari siapa sahaja, tanpa perkiraan prinsip. Ingatlah, Parti Keadilan Rakyat adalah parti reformasi, perlawanan kita adalah perlawanan sistem, melawan sistem Umno dan BN (tidak kira siapapun yang memimpinnya), menawarkan sistem reformasi yang lebih terbuka, telus dan merakyat. Tindak-tanduk PAS kebelakangan ini nyata berlawanan dengan cita-cita reformasi kita, kerana PAS boleh sahaja berkawan dengan sistem yang rosak dan korup demi kuasa. Kepada semua pimpinan Cabang Keadilan di seluruh negara, saya menyeru untuk kalian ke depan bersama-sama menyokong inisiatif Kongres Nasional Khas bagi menyelesaikan secara tuntas soal hubungan parti kita dengan PAS. Apakah gerakan ini boleh menghancurkan Parti Keadilan Rakyat? Dari satu segi saya tidak nampak logiknya. Ia cuma sebuah Kongres tempat kita berdebat mencari sebuah penyelesaian. Bilamana keputusan di peringkat MPP dan Biropol selalu dipertikai ahli bawahan, maka Kongreslah tempatnya, badan tertinggi pembuat keputusan dalam struktur parti, dan ia tidak boleh dipertikai lagi atau diubah sesuka hati oleh MPP mahupun Biropol. Kalau yapun Kongres Nasional Khas boleh mencipta perpecahan dan huru-hara seperti dakwaan sesetengah pihak, maka suka saya cuplik teori revolusi, bahawa revolusi akan mencetuskan huru-hara tetapi akan memunculkan hero. Siapa hero tersebut? Rafizikah? Tidak semestinya, ia bergantung kepada keadaan, hero baru mungkin akan muncul dari kalangan pimpinan-pimpinan cabang. Ingatlah sejarah reformasi Indonesia. Yang merajai gerakan reformasi Indonesia ketika hangatnya adalah sosok yang bernama Amien Rais, tetapi bila reformasi menang, yang menjadi hero di Indonesia adalah B.J. Habibie. Saya, Ketua Penerangan Keadilan Negeri Pahang, menulis kenyataan ini dengan penuh kesedaran akan risikonya. Saya tidak pasti sama ada kenyataan ini bakal diterima oleh MPN secara keseluruhannya. Namun sementara jawatan itu masih milik saya, biarlah saya suarakan apa yang saya percaya. Saya mungkin akan kehilangan jawatan tersebut, dipecat. Tetapi ingat, saya masih Timbalan Ketua Cabang yang dipilih… maka saya akan terus bersuara. Rakan-rakan saya dalam gerakan ini ramai yang berjawatan, termasuklah Rafizi sendiri. Bersama-sama dengan gerakan ini memungkinkan hilangnya jawatan, tidak dapat menjadi calon pilihanraya, yang sudah bergelar YB tidak akan terpilih sekali lagi bertanding. Semua risiko ini mungkin, tetapi bak kata Anwar, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Saya percaya inilah jalan reformasi, inilah jalan reformasi yang saya pilih. Zukri Aksah
0 Comments
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd Syukur pada Tuhan, buat kesekian tahunnya, kita berjaya menyempurnakan sebulan puasa pada bulan Ramadhan. Hari ini kita menyambut hari kemenangannya, Hari Raya Aidil Fitri. Mewakili Keadilan Negeri Pahang, saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Negeri Pahang, Selamat Berlebaran dan Bermaaf-maafan. Sebulan yang lepas ini juga, kita berusaha melengkapkan solat terawih di setiap malamnya. Ada antara kita yang bertadarus hingga khatam 30 juzuk Al-Quran dalam masa 30 hari. Rumah-rumah kebajikan, anak yatim dan seumpamanya meriah dengan aktiviti sedekah iftar dan bantuan Raya. Ketiga-tiga ini adalah amalan sunat yang paling dituntut dan paling besar pahalanya dalam bulan Ramadhan. Kemenangan apa yang kita sambut hari ini, hingga kita tidak dibenarkan bersedih pada 1 Syawal yang mulia ini? Puasa, zakat fitrah, terawih, sedekah dan tadarus Al-Quran sebulan pada Ramadhan yang baru berlalu bertujuan untuk mengembalikan kita kepada fitrah, sebab itu perayaan ini juga dikenal sebagai Hari Raya Fitrah. Penyempurnaan Ramadhan bermaksud kita sempurna berbalik kepada fitrah, itulah kejayaan yang kita sambut hari ini, Hari Raya Aidil Fitri. Apa fitrah kita? Tidak kira siapa kita, fitrah kita semua asalnya Islam, apa maksudnya? Islam dari segi bahasa bermaksud patuh dan tunduk. Patuh dan tunduk kepada kebaikan, ingkar dan menolak segala amal jahat serta mungkar. Ramadhan yang sempurna bukan setakat membuat kita ingkar dan menolak amal jahat serta mungkar, bahkan akan menghindar kita dari condong kepada perlakuan atau orang yang melakukan perkara-perkara sebegitu. Perbuatan pemimpin mencukai rakyat hingga merangkumi golongan miskin dan susah seperti perlaksanaan GST adalah amal jahat dan mungkar. Bahkan baru-baru ini jika tidak dibantah, sebahagian dari bahan mentah asas makanan akan mula dikenakan GST. Pemimpin yang melaksanakan regim percukaian ini sudah satu hal, tetapi harus diingat, orang yang tahu dan berdiam diri, malahan mahu bertaawun dengan golongan ini, dilihat condong dan terpalit sama dengan kezaliman yang sedang berlaku. Orang yang terlibat dengan skandal 1MDB adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Orang yang terlibat dengan skandal FGV adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Orang yang terlibat dengan skandal MARA, SRC, KWAP dan seumpamanya adalah pelaku amal jahat dan mungkar. Kesemua ini membabitkan wang negara, wang rakyat. Menggetarkan bila semua skandal ini merujuk kepada atau berhubungan dengan Umno dan BN atau pemimpin-pemimpinnya, yang secara faktanya adalah kelompok yang memerintah negara ini. Jika amal jahat dan mungkar ini berterusan, ini bermaksud mereka tidak kembali kepada fitrah, sebab fitrah seperti yang saya sebutkan tadi adalah patuh dan tunduk kepada kebaikan. Jika kita, yang bergembira di 1 Syawal ini, yang merasa kita menang setelah menempuh sebulan bulan Ramadhan, tetapi tidak melakukan apa-apa bila pemimpin secara terang-terangan melakukan amal jahat dan mungkar, seperti dasar yang membeban, korupsi dan salah guna kuasa, maka kita harus bertanya kembali kepada diri kita sendiri, apakah kita benar-benar sudah kembali kepada fitrah? Ayuhlah semua... tunjukkan kepada mereka yang menzalimi rakyat, mereka yang khianat amanah rakyat dalam mengurus harta negara, mereka yang menyusahkan rakyat, bahawa rakyat sedang belajar sesuatu yang besar dari kemenangan 1 Syawal kali ini. Jadikanlah 1 Syawal kali ini sebagai penggerak momentum kemenangan seterusnya, kemenangan menundukkan pemimpin yang angkuh dan bongkak. Sebagai orang yang sudah kembali kepada fitrah, tetapkanlah pendirian kita bahawasanya, kita tidak akan sesekali bertahaluf atau bertaawun dengan pemimpin yang ingkar dan menolak kebaikan, dalam masa yang sama melaku amal jahat dan mungkar terhadap rakyat. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd Sekian. Maaf zahir batin dari Keadilan Negeri Pahang. Wassalam. Zukri Aksah 1 Syawal 1438H Parti Keadilan Rakyat Pahang menjunjung kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah di Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Pahang pada 2 Mei 2017 lalu yang mana Baginda menyarankan Jemaah Pengampunan Pahang memakaiguna kaedah pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa pembunuhan kepada banduan yang telah disabitkan atas kesalahan membunuh.
Pemangku Raja Pahang di dalam Titah Baginda telah secara spesifik menyarankan prinsip-prinsip jurispruden Islam iaitu "diyat" sebagai alternatif kepada hukuman mati di atas permohonan yang dimajukan kepada Jemaah Pengampunan Pahang. Diyat atau pemberian pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa kepada banduan yang disabitkan merupakan salah satu elemen penting di dalam pentadbiran keadilan Islam yang mengenengahkan prinsip kemaafan dan kasih-sayang serta tidak berdendam. Ianya juga secara tidak langsung mempamerkan citra sebenar Islam sebagai agama kasih-sayang dan tidak semata-mata menghukum. Diyat secara efmologinya diertikan sebagai denda atau penebusan yang mana seseorang banduan boleh meminta kemaafan atau pengampunan dari waris atau keluarga mangsa dan keluarga mangsa juga berpeluang memberikan kemaafan kepada banduan yang disabitkan dengan kesalahan membunuh dengan cara membayar denda atau penebusan berupa sejumlah harta yang bernilai. KEADILAN Pahang percaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah merujuk kepada firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah ayat 178 di mana keluarga mangsa diberikan kebebasan memberi maaf kepada banduan dan di dalam keadaan ini diyat atau denda hendaklah dikenakan yakni dengan membayar dalam bentuk harta yang bernilai kepada keluarga mangsa. Tuanku Pemangku Raja Pahang turut bertitah bahawa cadangan memakaiguna diyat ini bukanlah terhad kepada banduan Muslim sahaja tetapi boleh diaplikasikan oleh mereka untuk banduan bukan Islam atas prinsip yang sama. Sesungguhnya Titah Baginda ini sangat bertetapan dengan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin (Islam Rahmat Sekelian Alam) serta membuktikan ketinggian Islam itu sendiri. KEADILAN Pahang turut berpandangan peraturan serta peruntukan undang-undang sedia ada yang diberikan kepada Jemaah Pengampunan Pahang tidak menghalang dan memberikan ruang bagi membolehkan diyat dilaksanakan. Demikian itu, KEADILAN Pahang sekali lagi menjunjung kasih di atas Titah Pemangku Raja Pahang yang disifatkan sebagai bersesuaian serta bijaksana dan memartabatkan prinsip keadilan Islam. KEADILAN Pahang menyeru dan menggesa kesemua pihak yang berkaitan mengambil tindakan sewajarnya serta segera bagi membolehkan hasrat dan cita-cita murni Baginda dapat direalisasikan. Sekian Terima Kasih YB Dato Fauzi Abdul Abdul Rahman Bertarikh pada 4 hb Mei 2017 |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|