Tajuk di atas adalah sebuah judul lagu, tetapi bukanlah lagu itu yang ingin saya dendangkan di sini. Dalam konteks tulisan ini, ia hanya membawa dua konotasi. Pertama, apakah bulan putih PAS sudah berubah menjadi biru pekat? Menjadi mesra Barisan Nasional (BN) walau tidak berada dalam BN, seperti IPF satu masa dahulu? Kedua, kalau yang pertama salah, apakah wajah PAS hari ini sudah kebiruan akibat dimalu, dipermain dan diperkudakan Umno dan BN?
Latar belakang asas tulisan ini adalah adegan drama pendek tiga babak RUU355 yang mana watak utamanya adalah Haji Hadi. Bermula dengan Tangguh, Tangguh, Bentang/Tangguh. Tangguh kali pertama dan kedua dibuat Haji Hadi sendiri tanpa pembentangan, sementara yang ketiga usulnya dibentangkan oleh Haji Hadi tetapi ditangguhkan pula oleh Speaker tanpa perbahasan, apalagi pengundian. Peliknya, sama ada tindakan Speaker atau kenyataan Datuk Dr. S.Subramaniam, Presiden MIC yang memberitahu bahawa skrip drama bentang tanpa bahas itu sudah diketahui awal oleh pihak Umno dan BN tidak pula mendapat bantahan dari mana-mana pimpinan PAS. Apakah PAS juga bersama menulis skrip itu? Persoalan ini membawa kepada konotasi pertama tadi, apakah PAS sudah menjadi mesra BN? Soal mengapa ia tidak dibahaskan sekarang sudah menjadi soal kedua, yang utama apakah sudah wujud kerjasama rasmi di antara PAS dan Umno dalam diam? Apakah PAS sudah menjadi mesra BN walaupun tidak berada dalam BN? Apakah ini "UG - The Sequel," yang di ketika hayat Almarhum Tok Guru Nik Aziz adalah sebuah hubungan haram yang tidak pernah diperkenankan oleh beliau? Kenapa tiba-tiba PAS tanpa Nik Aziz boleh menjadi percaya kepada Umno dan BN, boleh percaya dengan gula-gula yang dihulur Najib? Janji Melayu, janji Islam? Sejak bila Umno ikhlas bila bercakap soal Islam, soal Melayu? Malangnya bila PAS mula melupakan yang parti mereka pernah dizalimi puluhan tahun oleh Umno dan BN, lebih malang jika PAS boleh percaya Umno hari ini yang diterajui Najib lebih boleh dipercayai dalam membentuk kerjasama untuk memperkasakan perlaksanaan Islam di negara ini. Ingin saya ingatkan, bahawa kita melawan Umno dan BN, di bawah Mahathir, di bawah Pak Lah, di bawah Najib, utamanya bukan kerana kejahatan, kezaliman atau ketidalayakan mereka, tetapi kerana sistem yang dibawa Umno dan BN hari ini adalah sistem yang rosak dan korup. Sistem yang rosak dan korup inilah yang menaikkan pemimpin yang jahat, zalim dan tiada kelayakan. Apakah PAS boleh percaya Najib yang naik dari sistem sebegini punya iltizam atau sekurang-kurangnya akan memberi sedikit ruang untuk perlaksanaan apa yang diperjuangkan PAS selama ini? Bukan PAS yang meletak Najib di tempatnya sekarang tetapi sistem yang rosak dan korup itulah... jika dalam persimpangan yang terdesak, percayalah, Najib akan meninggalkan PAS terkontang-kanting dengan harapan tanpa kesudahan. Atau apakah ini politik matang dan sejahtera PAS? Memberi peluang kepada Najib, Umno dan BN untuk dipercaya walau sekali? Kalau seluruh isi kepimpinan PAS percaya akan hal ini, inilah yang betul, inilah yang Islam, bagaimana pula dengan pendekatan politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebelum ini? Kalau tidak matang dan sejahtera, adakah pendekatan Nik Aziz dulu adalah pendekatan menatang dan kera? (maaf jika kasar, ada orang lain yang lebih suka membinatangkan orang lain berbanding saya) Jika inilah politik matang dan sejahtera, bagaimana pula dengan penentangan PAS terhadap Saudara Anwar Ibrahim selama 16 tahun dalam Umno? Bukankah Anwar yang suatu ketika Presiden ABIM yang dilihat dekat dengan PAS tetapi mengambil keputusan menyertai Umno atas sebab yang sama? Sambil "bersejahtera" dengan Umno, Anwar mengambil peluang itu mempengaruhi kepimpinan Umno melaksanakan Islam dalam pentadbiran, ekonomi dan pendidikan. Bank Islam, Universiti Islam, Sistem Kewangan Islam, Dasar Penerapan Islam dalam Pentadbiran antara yang berjaya digagaskan. Apa beza ini semua dengan RUU355 dari segi memperkasakan Islam? Apakah politik Anwar juga politik menatang dan kera? Apakah PAS menyokong? Maaf cakap, di dalam tempoh itu jugalah isu kafir mengkafir sedang hebat, isu toghut dan sebagainya, hasil dari amanat seorang pemimpin PAS yang mengaku matang dan sejahtera, yang bernama Haji Hadi. Seperti kita semua maklum, Anwar akhirnya tercampak keluar dari Umno dan BN. Maksudnya di dalam BN, sistem yang rosak dan korup lebih berkuasa dari pemimpin yang beriltizam. Apakah PAS tega untuk menempuh jalan yang sama? Berdasarkan konotasi kedua pula, keadaannya adalah PAS sudah di"check-mate" sekarang. Wajah PAS sudah kebiruan kerana malu dan terkedu. Terkedu pertama kerana keengganan pihak kerajaan pimpinan Umno untuk membentangkan RUU355 di Parlimen, sebaliknya memulangkan kepada pihak PAS, kekal sebagai RUU Persendirian. Terkedu kedua kerana tindakan Speaker yang juga dari BN yang menangguhkan Sidang Dewan sebaik sahaja selepas pembentangan usul dari Haji Hadi tanpa perbahasan. Terkedu ketiga ialah bila Presiden MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam memberitahu bahawa keputusan untuk tidak membahaskan usul Haji Hadi itu adalah keputusan Umno dan BN sebelum dewan bersidang lagi. Kerana terkedulah dan wajah sudah kebiruan maka tidak ada tindak balas dari PAS terhadap tindakan-tindakan Umno dan BN ini. Hanya ego Haji Hadi dan pemimpin sealirannya sahaja yang setakat ini menghalang mereka untuk mengaku bahawa mereka telah terkena. Tetapi janganlah pula kerana hilang kata-kata akibat diberak-kencing oleh Umno dan BN itu, PAS mengerahkan gerombolannya untuk memaki dan menyalahkan orang lain pula, DAP anti Islam, PH tak sokong Islam... bila pula kita berbahas dan mengundi, yang tahu sangat sokong tak sokong tu? Kalau benarlah PAS benar-benar berusaha mahu memperkasakan Islam melalui RUU355, masa masih ada sementara menunggu sidang seterusnya bagi pembentangan semula dan perbahasan. PAS mesti sanggup melepaskan isu ini dari sekadar menjadi modal untuk PAS menonjolkan diri semula selepas perpecahan, atau dari sekadar menjadi modal yang dipergunakan oleh Umno dan BN untuk melambatkan tempoh kejatuhan mereka, tempoh kejatuhan Najib Razak. Percayalah, isu agama dan kaum sebagai senjata pecah-perintah sudah tidak terpakai di era media sosial ini. Waktu inilah, PAS boleh betul-betul mahu menguji keikhlasan Umno pimpinan Najib sama ada mahu menyokong atau tidak RUU355 ini. Kita tiada masalah dengan perkara yang baik, kalau betul baik kita sokong asal caranya juga baik. Berkomplot dengan satu pihak yang rosak dan korup sistemnya, Najib itu apatah lagilah, atas alasan memperkasakan Islam tidak boleh diterima, matlamat tidak akan selama-lamanya menghalalkan cara! Tidak perlu ada perundingan sulit kalau benar-benar mahu memperkasakan Islam melalui RUU355. PAS hanya perlu meminta dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk membentuk satu "Consultative Council" RUU355 yang melibatkan JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Mufti-Mufti Negeri, Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri, juga "stakeholders" lain seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), di Negeri Pahang ada Persatuan Peguam Syarie Negeri Pahang (isteri saya adalah setiausahanya), mungkin juga wakil peguam Islam dari Malaysian Bar, dan lain-lain yang berkenaan. Dengan cara ini ia akan menjadi isu massa, bukan lagi isu politik sempit, membina kuasa tekanan dan "demand" yang lebih besar, serta sudah tentulah harapan kejayaan untuk pemerkasaan Islam itu akan menjadi lebih tinggi. Dengan cara ini juga, PAS sudah pasti bakal mendapat lebih penghormatan, barangkali turut mampu membentuk kumpulan-kumpulan sokongan yang baru. RUU355 sepatutnya menjadi idea yang betul, di tangan pihak yang betul, diusahakan secara betul, dengan kaedah yang betul dan membuahkan hasil yang betul. Jangan akhirnya yang terkesan adalah wajah putih-bersih bulan PAS. Bila bulan berwarna biru, PAS bukan lagi kawan saya, bukan lagi kawan kepada ramai orang lain yang seperti saya.
0 Comments
Leave a Reply. |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|