Ketika saya masih budak-budak, saya belajar mengaji Al-Quran dengan seorang makcik yang saya panggil Che De di kampung saya. Ada seorang pemuda yang baik dengan Che De, mengajar saya perihal solat di sebelah malamnya di tempat yang sama (kemudiannya saya mengetahui pemuda ini berpangkat tiga pupu dengan saya). Saya mula mengaji pada usia 5 tahun dan khatam kali ketiga sewaktu saya di Darjah Lima. Semoga Tuhan merahmati usaha, kesungguhan dan amal-baik mereka. Apa yang saya pasti, sama ada Che De atau pemuda tersebut, mereka bukanlah pendokong PAS.
Maslahah, kepentingan Islam pada skala terkecil di kampung pedalaman seperti di kampung saya itu boleh terjaga tanpa dokongan PAS pun... Kenapa hari ini, mereka yang mengisytiharkan cerai, mereka pula yang mengisytihar mahu terus kekal serumah di Selangor... guna alasan maslahah Islam? Tahaaluf Siyaasi itu kerjasama politik, Kerajaan Negeri Selangor yang ada sekarang juga berdiri di atas kerjasama politik yang sama. Kalau dah putuskan batal, terbatal samalah yang di Selangor itu. Kenapa ada kekecualian? Alasan maslahah Islam tidak boleh dipakai. Apakah tercabut Islam dari pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor tanpa PAS? Apakah bagi PAS, selain PAS yang lain itu sama dengan Ahok? Layak ditanam di jirat? Apakah orang seperti Haji Sa’ari Sungib (Pak Abu Urwah) misalnya, salah seorang ADUN di Negeri Selangor tidak cukup alim bagi PAS untuk menjaga maslahah Islam? Pak Abu Urwah adalah bekas aktivis dan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM). Apakah PAS tidak mahu mengaku bahawa apa yang dilakukan oleh JIM selama ini adalah untuk kepentingan, maslahah Islam? Apakah PAS tidak mahu mengaku semata-mata kerana Pak Abu Urwah bukan PAS, JIM bukan PAS? Apakah dalam Malaysia ini hanya PAS sahaja yang betul dalam menjaga maslahah Islam? Menjuarai hal-hal berkaitan dengan Islam? Apakah pula menjuarai hal-hal Islam itu hanya berkisar sekitar hudud? Sekitar RUU355? Sedang RUU355 itu hanyalah pindaan kepada Akta sedia ada, bukan sesuatu yang baru, mengapa perlu terlebih hiruk-pikuk mendabik dada mahu memperkasakan Islam? Dijaja ke sana-sini di atas pentas politik sehingga terlebih goreng, terlebih hangit? Kalau betul mahu atau menyokong pemerkasaan perundangan Islam di negara ini, jangan hanya melihat kitab ‘uqubat (jinayat), lihat juga kitab ibadat, kitab munakahat, kitab muamalat. Kenapa tidak pernah kedengaran sokongan PAS bila perundangan muamalat Islam diaplikasi dalam sistem kewangan dan perbankan negara ini? Kita mula kenal mudharabah, tijarah, sukuk, musyarakah mutanakisah, tabarru’ dan sebagainya. Bukankah ini semua juga pemerkasaan perundangan Islam? Tanpa kontroversi, tanpa hiruk-pikuk. Atau sebab bukan PAS yang buat, PAS tak dapat keuntungan material dan politik, tak perlu sokonglah... tak ada kalangan Dewan Ulama’ PAS atau Majlis Syura’ Ulama’ PAS yang dilantik jadi Panel Syariah di Suruhanjaya Sekuriti atau dalam mana-mana bank komersil, maka PAS tak perlu sokong. Begitukah? Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui. Tidak semena-mena Pemangku Raja Pahang bertitah, masukkan elemen Diyat dalam prosedur Lembaga Pengampunan DiRaja. Ini kuasa Sultan, ini kuasa negeri, tidak perlu draf Rang Undang-Undang, tidak perlu bentang parlimen, tidak perlu pinda perlembagaan, kaedah ini dalam bab Qisas. Ia mampu menarik sokongan bukan Islam, ia mampu menarik sokongan aktivis kemanusiaan. Sebab apa? Ia di tengah-tengan di antara perbalahan golongan yang menyokong hukuman bunuh dan menentang hukuman bunuh. Islam memberi penyelesaiannya, tanpa hiruk-pikuk, tanpa jajaan politik murahan. Maka berbondong-bondonglah mereka yang menjunjung titah. Saya pun menjunjung titah, sementelah ia sesuatu yang baik. Tetapi kepada PAS saya ingin bertanya, apakah Pemangku Raja Pahang itu lebih alim dari anggota Dewan Ulama’ PAS, lebih alim dari anggota Majlis Syura’ Ulama’ PAS, lebih alim dari Presiden PAS? Mengapa selama PAS memerintah Kelantan, sepenggal memerintah Terengganu, sepenggal memerintah Kedah, PAS tidak pernah mengaju sembah cadangan ini kepada Sultan masing-masing untuk kaedah Diyat diaplikasikan oleh Lembaga Pengampunan DiRaja di negeri-negeri tersebut? Apakah PAS tidak terfikir? (fikir hanya pasal hudud? RUU355?) Apakah Dewan Ulama’ PAS tidak buat kerja? Apakah Pusat Penyelidikan PAS tidak buat kajian? (Dr. Zuhdi sibuk nak jentik orang?) Tuhan sekadar mahu tunjuk, maslahah Islam bukan mutlak milik PAS! Beginilah... maslahah Islam adalah tanggungjawab orang Islam secara keseluruhannya, dan PAS hanya sebahagian kecil dari orang Islam yang ada di negara ini, ramai lagi orang Islam yang berada di luar dari lingkungan PAS. Dan apakah saya boleh meletak kepercayaan kepada satu institusi yang bibir-mulutnya cukup mudah untuk menanjingkan orang, membiawakkan orang, menjebonkan orang, membaruakan orang dalam menjaga kemaslahatan Islam dalam negara ini? Cukuplah... sebelum imej Islam yang songsang sampai ke persepsi masyarakat umum, berundurlah secara terhormat dari Kerajaan Negeri Selangor, demi prinsip tahaaluf yang kamu pegang. Talak satu di Dewan Ulama’, talak dua di muktamar, talak tiga di Majlis Syura’ Ulama’, tak boleh cina buta dah!
0 Comments
Leave a Reply. |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|