Hari ini 4 April 2017 merupakan hari ulangtahun penubuhan Parti Keadilan Rakyat (Parti Keadilan Nasional dulunya) yang ke-18. Pada tarikh yang sama, 18 tahun yang lalu, 1999, saya berada di Renaissance Hotel, Kuala Lumpur, bersama memetarai sejarah nusa, mendaftar sebagai ahli, dan berasimilisasi dengan keriuhan semangat reformasi. Pada perkiraan saya, dalam sejarah politik negara pasca-Malaysia, inilah satu-satunya parti politik moden yang lahir dari tumpahan keringat, airmata dan darah warganya.
Bukan detik ini yang saya ingin imbau, tetapi adalah apa yang ditajukkan pada tulisan ini, tarikh yang sama, tujuh tahun selepas penubuhan Keadilan, 4 April 2006. Berbeza dengan saya sebagai orang biasa di tahun 1999 itu, pada tahun 2006 saya sudah mendaki tangga kepimpinan parti. Pada waktu itu saya adalah Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Di Bahagian Indera Mahkota (kini Cabang) pula, saya adalah Setiausa dan Ketua Angkatan Muda. Hari itu, seperti hari ini, adalah hari istimewa, ulangtahun sebuah parti reformasi. Saya merangka satu acara istimewa, BACA PUISI REFORMASI! Saya langsungkannya pada jam 9.00 malam di dewan Putra Balok, Kuantan yang saya sewa dari PAS Indera Mahkota (saya ulang, SEWA). Antara tetamu jemputan saya adalah Saudara Ezam (ketika itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia), Saudari Nurul Izzah, Chegu Bard, Grup UBU dan ramai lagi. Saudara Zakaria Hamid dan Almarhum Cikgu Dzul turut hadir. Sekitar jam 6.00 petang, saya terima panggilan dari Saudara Sani, timbalan saya yang memberitahu bahawa dewan Putra sudah dikepung polis. Saya hanya tergelak kerana memikirkan yang kepungan itu mungkin sekadar bermaksud jumlah kehadiran polis yang agak ramai. Saya memberitahu Sani yang saya akan sampai dalam pukul 8.00 malam. Saya sampai tepat jam 8.00 malam dan suasana betul-betul mengejutkan. Bukan sekatan janlanraya yang menyusahkan itu yang saya maksudkan, tetapi dewan Putra Balok yang berbentuk empat segi itu dikepung oleh PORU (Unit Anti Rusuhan), Pasukan Gerakan Am dari Kem Galing berkekuatan lima trak dengan formasi berbaris empat segi juga, maksudnya tiada ruang untuk mencelah. Saya ambil keputusan untuk minum di gerai bersebelahan. Anak muda PAS yang bertugas menjaga dewan Putra menelefon saya memberitahu dia tidak dapat masuk dan bertanya sama ada saya mahu teruskan atau tidak. Saya kata ya, kita akan teruskan, kita tunggu kehadiran Nurul Izzah dan kita akan masuk dengannya, polis tidak akan berani menyentuh Nurul, saya bagi jaminan, dia bersetuju dan turut bersemangat. Bila Nurul Izzah sampai kami terus membawanya masuk tanpa mengindahkan kepungan ketat pihak polis itu. Saya terus membuat pengumuman dari dalam dewan bahawa program akan diteruskan, sesiapa yang berani boleh masuk, sesiapa yang tidak berani tidak apa kerana saya faham akan kerisauan yang sedang bersarang. Tidak perlulah saya ceritakan gangguan-gangguan yang pihak polis buat sepanjang acara saya berjalan. Saya yakin saya sedang mempertahankan hak saya. Acara saya adalah di dewan tertutup, milik persendirian dan bertiket serta tidak memerlukan permit. Pihak polis tidak punya satu asas munasabah pun untuk mengganggu program saya. Tetapi kehadiran grup UBU yang berambut panjang dan bergaya selekeh itu membuatkan mereka mencium satu peluang… Sebaik sahaja tetamu-tetamu utama saya meninggalkan majlis, sebaik sahaja saya umumkan “terima kasih demokrasi kerana membenarkan kami membaca puisi dalam kepungan pak-pak polisi,” pihak polis terus menyerbu masuk. Bukan PORU dari PGA, bukan Special Branch, tetapi polis dari Cawangan Anti Dadah! Anda boleh menangkap naratif mereka? Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Lapan orang ditahan termasuk saya, dan kami dibebaskan pada jam 2.00 pagi tanpa apa-apa dakwaan atau tindakan. Jelas ia satu tindakan provokasi dari polis untuk menakut-nakutkan penduduk sekitar dan anak-anak muda yang hadir. Oh ya… pagi esoknya saya memarahi pegawai cawangan khas melalui panggilan telefon, tetapi dia meminta maaf banyak-banyak dan memberitahu saya Special Branch tidak terlibat dengan apa yang berlaku malam tadi, ia adalah arahan langsung dari OCPD. Eh… perlukan saya cerita semua ini? Ada lagikah orang yang mahu mendengar cerita sukar dan lelah ini? Orang Keadilan sekarang bersembang apa ya… projek apa yang boleh dapat dari Selangor atau Pulau Pinang? Tentang bilakah giliran mahu diangkat sebagai Ahli Majlis? Yang membuat kerja parti itu buat kerja perjuangan atau kerja Pra-YB? Ini sejarah saya, acara BACA PUISI REFORMASI saya berakhir rugi, ia bertiket tetapi orang tidak dapat masuk. Saya menanggung hutang bahkan ada yang belum langsai. Bakinya tidaklah banyak, tetapi kenapa saya keberatan? Kerana saya mula terfikir, adakah ia hutang saya, hutang perjuangan, atau hutang parti? Saya cuma mahu meraikan hari jadi parti reformasi ini. Apapun selamat menyambut ulangtahun kelahiran buat Parti Keadilan Rakyat, moga nadimu masih mendenyut rima perjuangan.
0 Comments
Salam... kata orang tua, sedikit tanda ingat, banyak tanda ada. Kalaupun tidak ramai, saya harap masih ada yang ingat bahawa saya pernah secara aktif menulis untuk reformasi. Dalam keterbatasan masa, kesibukan kerja, dan kepenatan melayan keletah putri-putri manja, hati saya masih mekar bila memikir soal perjuangan, perasaan saya masih membuak bila teringat kecurangan para pemimpin, tidak kiralah dari kiblat politik mana sekalipun.
Saya masih mahu terus berjuang, saya masih mahu terus menyumbang. Saya cuba untuk menulis kembali... Zukri Aksah |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|