Ramai orang mengira bahawa sejarah Empayar Melaka atau Kerajaan Melayu Melaka adalah hal orang Melayu sahaja. Maka dalam masyarakat majmuk Malaysia hari ini, bagi sebahagian besar dari kita yang bukan Melayu, persoalan tentang kegemilangan atau kejatuhan Empayar Melaka itu seakan tidak penting dan tidak relevan.
Saya mengatakan pandangan ini sangat salah. Bahkan sejarah kejatuhan Empayar Melaka sangat dekat dalam konteks perbicaraan Malaysia moden yang kita diami sekarang ini. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Empayar Melaka adalah negara pelbagai kaum, sama seperti situasi masakini. Menonton bangsawan atau filem berlatar zaman kegemilangan Melaka, nama panggilan Mamak Bendahara sering kedengaran, tapi siapakah beliau sebenarnya? Kita biasa dengan panggilan mamak dan kita faham dengan konotasi mamak, yang kadang-kadang dalam politik negara kita dijadikan bahan serangan perkauman yang jelek. Sekali lagi, siapakah Mamak Bendahara? Mamak Bendahara ini ialah Bendahara Tun Ali anak kepada Baginda Mani Purindam, seorang bangsawan dari India yang hidup dalam ‘lingkaran istana’ Melaka. Beliau berkahwin dengan kerabat Melaka, Tun Rana Sandari Tun Perpatih Besar. Anak Tun Ali, Tun Mutahir hasil perkahwinan kedua Tun Ali dengan Tun Kudu juga kemudiannya diangkat sebagai Bendahara Melaka. Itu perihal kaum India di Melaka. Kaum Cina pula yang datang dalam jumlah yang besar adalah pengikut Puteri Hang Li Po, dikatakan dalam 500 orang. Puteri Hang Li Po adalah isteri kepada Sultan Mansur Shah. Mereka ini diberi penempatan di tempat apa yang kita kenal sekarang sebagai Bukit Cina, Melaka. Sama ada keturunan Mani Purindam atau pengikut Hang Li Po, mereka adalah rakyat Empayar Melaka, rakyat Melaka yang setia. Lalu datanglah 1511, Portugis menyerang Melaka setelah memperoleh maklumat risikan yang banyak, salah satu maklumat penting adalah ketika itu armada laut utama Melaka yang diketuai oleh Laksamana tidak ada di Melaka! Tidak perlulah saya perincikan keadaan peperangan itu, kesudahannya Melaka kalah selepas tentangan sengit diberikan. Ketika Portugis berjaya masuk ke dalam Kota Melaka, beribu senjata api milik tentera Melaka dirampas, beribu meriam juga, ada yang belum sempat digunakan, ada yang sempat dibawa lari oleh pasukan tentera Melaka yang bersama dengan Sultan. Melaka bukan empayar keris-lembing. Melaka punya teknologi, Melaka punya kekuatan, Melaka adalah tamadun… tetapi mengapa Melaka kalah? Inilah inti penting yang saya mahu ceritakan. Di sinilah teladan dan sempadan yang saya mahu utarakan, kerana senario hampir sama wujud hari ini dan sejarah selalu berulang. Melaka pada 1511 adalah kota perdagangan yang maju dan luas, menjalar hingga ke Muar! Kemajuan dan kemakmuran ekonominya menyebabkan wujud pemimpin yang tamak dan rasuah, menerima rasuah hingga ke tahap khianat, membocorkan maklumat pertahanan ke pihak luar. Inilah sebab pertama mengapa Melaka kalah. Dalam keramaian rakyat Melaka yang majmuk itu pada tahun 1511, kota Melaka juga dikunjungi ramai pedagang luar, saya ulang, pedagang! Istilah hari ini adalah peniaga dan pelabur dari negara luar. Adalah fakta sejarah bahawa ketika armada Portugis berlabuh di perairan Melaka sebelum serangan dilakukan, pedagang-pedagang dari Negara China (bukan rakyat Melaka berbangsa Cina dari keturunan pengikut Hang Li Po) telah pergi berjumpa Alfonso de Albuquerque menawarkan bantuan, bahkan meminjamkan dua buah jong (kapal besar) untuk kegunaan tentera Portugis. Sekumpulan pedagang dari India yang diketuai oleh Nina Chetu (bukan rakyat Melaka berbangsa India dari keturunan Mani Purindam) juga turut membelot dan menyokong Portugis. Ini pula adalah sebab kedua mengapa Melaka kalah. Pembelotan Nina Chetu sangat tidak disangka kerana dia amat rapat rapat dengan Sultan. Nina Chetu diangkat menjadi Shahbandar bagi pedagang India selepas Portugis menang tetapi dia mati membunuh diri pada tahun 1514. Melaka ketika itu besar wilayahnya, maka tenteranya juga ramai, tetapi sebahagian dari tentera itu adalah tentera upahan Jawa. Dan antara strategi Portugis untuk melemahkan pertahanan Melaka adalah dengan merasuah ketua masyarakat Jawa yang punya pengaruh kuat terhadap tentera upahan ini, namanya Utumutiraja. Utumutiraja telah berjaya meracuni pemikiran tentera upahan Jawa supaya tidak terlalu bersungguh melawan Portugis, dengan alasan Melaka bukan tanahair mereka. Ini sebab terakhir mengapa Melaka berjaya dikalahkan oleh Portugis. Perhatikan ketiga-tiga sebab ini, apakah watak-watak di atas tidak wujud pada hari ini? Pemimpin negara yang rasuah dan menyalahguna kuasa, sudah muak kita mendengarnya, dari 1MDB ke FGV, dari FGV ke NFC, dari NFC ke MARA, dari MARA ke KWAP dan pelbagai lagi. Ingatlah di antara rasuah dan pengkhianatan cuma ada benang halus yang boleh diputus, dilanggar atau dilangkau pada bila-bila masa sahaja. Percayalah bahawa inilah yang sangat ditakuti oleh bekas-bekas pemimpin Umno yang sekarang melawan Umno melalui PPBM. Itu tentang tamak dan rasuahnya pemimpin sekarang, sama dengan segelintir pemimpin Melaka dahulu. Kalau Melaka dahulu dibanjiri para pedagang dari China dan India, samalah juga keadaannya negara kita sekarang ini. Peniaga dan pelabur dari Negara China sudah hampir mengelilingi Semenanjung Malaysia. Dari Kuantan yang saya duduki ini yang punya ‘kota tertutup’ yang dikenal sebagai Taman Industri Malaysia-China Kuantan dengan tembok besarnya, turun ke Johor di Johor Iskandar dan Forest City yang menjual hartanah dan harta tanpa tanah kepada pelabur dari Negara China (juga dari negara lain), naik ke Melaka dengan Malacca Gateawaynya… lain-lain termasuklah pengambil-alihan syarikat pembekal tenaga bebas Edra Energy oleh syarikat dari Negara China, belum lagi dikira pemegangan ekuiti dalam Proton. Hari ini pelaburan besar-besaran dari Negara China sudah pun memasuki Sabah melalui Sutera Harbour. Saya tegaskan di sini, ini bukan soal peratusan pegangan saham, ini soal keberadaan ‘pedagang-pedagang’ dari Negara China ini, di mana sahaja di negara kita, dan dari segi strategik keselamatan, ia tidak selamat. Melaka ketika berperang dengan Portugis menggunakan tentera upahan Jawa yang antara lain menjadi sebab kekalahannya. Hari ini sudah tentu negara kita tidak menggunakan tentera upahan kerana persoalan kesetiaan. Namun kita hari ini punya masalah tenaga upahan yang hampir sama dengan tentera upahan Jawa Empayar Melaka tersebut. Negara kita mempunyai tenaga kerja upahan asing atau pekerja asing yang terlalu ramai, sama ada dengan izin atau tanpa izin. Data terkini menunjukkan bahawa jumlah pekerja asing yang sah sahaja berjumlah 1.7 juta. Tentang pendatang tanpa izin, saya tiada rekod terkini, tetapi setakat 2014, jumlahnya sudah mencecah 4.6 juta! Kebimbangannya, 10-20 tahun akan datang, populasi pendatang asing ini sama ada dengan izin atau tanpa izin akan menjadi populasi kedua terbanyak selepas Melayu/Bumiputera! Dan yang paling menakutkan sudah tentulah kita langsung tidak boleh meletak kepercayaan dan kesetiaan ke atas mereka, sejarah lama sudah mengajar. Seperti sejarah Melaka, hari ini ada juga pendatang asing yang rapat pemimpin negara kita, ada yang rapat dengan istana, bahkan ada yang dianugerah gelaran. Saya berani mengatakan setinggi manapun gelaran yang kita beri, mereka tidak akan bersetia dengan kita. Sepatah ingatan dari saya, jangan terlalu suka menyusu kera di hutan, walau seluruh hasil hutan itu dilambak kepada kita sebagai balasan, kerana kera hutan tetap kera hutan, giginya tajam, taringnya panjang, menandakan menggigit itu sebahagian dari dirinya. Sekali kita digigit bukan sekadar meninggalkan lubang, silap-silap habis kita tumbang. Jangan biar sejarah berulang! Zukri Aksah
1 Comment
Anas Marhean Dzulkifli
20/12/2017 04:51:25 pm
Ulasan serta kupasan sejarah yang spesifik , padat ttp jarang ditemui malah...boleh dikatakan asing pd generasi baru. Itu lebih menambah bahaya pd keadaan dan situasi negara pd waktu ini , maksudnya kejatidirian generasi baru hambar !
Reply
Leave a Reply. |
BIODATAZukri Aksah merupakan Ketua Penerangan Keadilan Pahang dan Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota, juga pernah membarisi saf Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal. Telah mula terlibat secara langsung dengan politik dan gerakan reformasi sejak 1999, beliau dikenal sebagai radikal dalam kedua-dua pemikiran dan tindakan... [seterusnya] ARKIB
September 2017
KATEGORI
All
|